Membawang Hari Ini

Filem Ahmad Idham bakal tembusi pasaran global

PEMILIK nama Ahmad Idham Ahmad Nadzri sudah tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri perfileman tanah air. Pelabagi filem sudah dihasilkan, antaranya, Adnan Sempit, Syurga Cinta, Jangan Pandang Belakang Congkak, Impak Maksimum dan banyak lagi.

Dalam kalangan penggiat seni, Ahmad Idham merupakan salah seorang yang paling lantang bersuara berhubung dunia perfileman negara. Ikuti temu bual Sinar Harian Online bersama beliau untuk mengetahui lebih lanjut tentang pengarah yang satu ini.

SINAR HARIAN ONLINE: Perkembangan terkini Ahmad Idham?

AHMAD IDHAM: Sekarang ini, saya sedang menunggu dengan penuh debaran, filem terbaru saya yang akan mula tayang pada 21 Februari ini iaitu Gangster Celop. Gangster Celop merupakan filem kolaborasi pertama saya dengan Skop Productions yang menggabungkan pelakon saya (Excellent Pictures) dan pelakon Skop Productions, Kamal Adli dan Syamsul Yusof. Kali pertama juga saya menggunakan blogger terkenal sebagai teraju utama iaitu Hanis Zalikha.

Pada masa yang sama, saya sedang menyiapkan pascaproduksi untuk filem Lari. Insya-ALLAH akan berada di pawagam pada 6 Jun ini. Itu kolaborasi saya dengan pihak Thailand. Saya sasarkan filem ini dapat dijual di peringkat antarabangsa. Lakonan Aaron Aziz, Dira Abu Zahar, Erry Putera dan Erin Malek. Filem ini menjurus ke arah isu pemerdagangan manusia dan dalam masa yang sama, ia penuh dengan aksi. Saya menggunakan hampir 40 peratus aksi luar negara dibawa masuk ke dalam filem saya.

SINAR HARIAN ONLINE: Pemilihan Hanis Zalikha dalam Gangster Celop yang merupakan muka baru. Apa komen Ahmad Idham?

AHMAD IDHAM: Bagi saya, penerbit-penerbit harus memberi ruang dan peluang kepada pendatang baru. Kalau semua orang tidak berani mencuba, saya rasa di mana kita nak menggilap bakat baru. Saya cenderung memberi peluang dan ruang kepada pendatang baru. Kalau semua orang tak berani mencuba, di mana nak menggilap bakat-bakat baru kan? Jadi, kalau sesiapa yang sudah biasa dengan saya, mereka tahu bahawa saya sentiasa cenderung dalam memberi peluang dan ruang kepada pendatang-pendatang baru yang mana saya rasa sesuai dengan setiap watak ataupun karakter yang saya nak hasilkan.

Kebetulan sewaktu saya nak hasilkan Gangster Celop itu, saya nak menggunakan pelakon yang lebih kurang muka Pan Asian, ada gaya Inggeris sedikit kerana watak dia adalah anak kepada Yus Jambu, di mana ibunya adalah orang luar negara. Jadi, dia harus tinggi dan ada karakter. Jadi, apabila saya tengok… antara pelakon kegemaran saya, Juliana Evans, dia pun sudah sambung belajar, saya terpanggil untuk mencuba bakat baru. Apabila saya tengok, Hanis Zalikha, dia bersesuaian dengan watak itu.

Masa itu, saya tak tahu dia blogger terkenal ke, tak terkenal, sebab saya hanya tengok gambar saja. Kemudian, apabila berjumpa dengannya, saya lihat dari segi percakapan, dia ada potensi untuk diketengahkan dan ada wajah yang komersial. Jadi, saya cuba.

SINAR HARIAN ONLINE: Jadi, bagaimana hasil percubaan Ahmad Idham menggunakan Hanis Zalikha?

AHMAD IDHAM: Bagi saya, untuk orang baru, dia tidak gagal. Walaupun ada beberapa kenyataan yang mengatakan bahawa lakonan dia ‘under’, bagi saya setiap orang harus ada tempat untuk langkah pertamanya. Kita tak boleh mengharap, setiap langkah pertama itu, dia akan terus menjadi seorang yang sempurna, saya rasa tak pernah berlaku. Malah kalau kita tengok balik cerita saya mula-mula berlakon dulu, saya pun malu tengok. Jadi, apa yang penting di sini, harus ada ruang dan peluang untuk mereka membuktikan bahawa bakat mereka boleh digilap dan ada potensi untuk digilap.

SINAR HARIAN ONLINE: Setelah kolaborasi pertama menunjukkan petanda positif, mungkinkah akan ada yang kedua dan seterusnya?

AHMAD IDHAM: Sebenarnya, kita dalam perancangan nak kolaborasi filem kedua. Cuma, perkara itu tidak boleh cerita lagi sebab kita pun tertunggu-tunggu (hasil kolaborasi pertama). Setakat hari ini apabila kami sudah buat tayangan, berdasarkan tayangan perdana dan beberapa tayangan kepada penonton, nampaknya mereka terkejut dengan hasil Gangster Celop itu kerana komedi dalamnya di luar jangkaan mereka. Mereka tak sangka, begitu rupanya komedi yang saya nak buat. Dalam tayangan perdana baru-baru ini, dari minit pertama sehingga minit terakhir, penonton tak lekang ketawa dengan konsep yang terbaru yang saya beri dalam filem ini.

Inilah yang dikatakan ‘the magic’ gabungan dua idea gergasi dalam industri perfileman yang membuahkan sesuatu untuk kepuasan penonton di luar sana. Jadi, kalau nak kata kolaborasi itu, sudah tentu. Bagi saya setakat hari ini, pada dasarnya nampak dah berjaya tetapi kami tertunggu-tunggu juga 21 Februari ini apabila ia mula ditayang di pawagam, reaksi daripada penonton. Sokongan mereka adalah penentu arah tuju kolaborasi ini. Kalau ia berjaya, ia tak akan terhenti di situ.

Bagi saya, apa saja yang kami buat adalah untuk memberi kepuasan lebih kepada penonton di luar sana. Tak guna kolaborasi ini dibuat jika tak boleh memberi impak kepada penonton. Fokus utama kolaborasi ini, saya beritahu Datuk Yusof Haslam, apa kelebihan dalam kolaborasi ini boleh kepada penonton? Bukan apa kelebihan kepada kami. Sebab pada kami, tanpa kolaborasi ini pun, Datuk tetap buat filem dia, saya tetap buat filem saya. Tetapi ada kekuatan yang harus kami tonjolkan untuk memenuhi cita rasa penonton di luar sana.

SINAR HARIAN ONLINE: Sejak kebelakangan ini, Ahmad Idham sering menghasilkan cerita berkonsep komedi ringan. Adakah Ahmad Idham sudah serik menghasilkan genre lain?

AHMAD IDHAM: Apabila saya buat filem seram sebelum ini, orang marah saya. Orang kata tak habis-habis dengan filem seram. Bila saya buat filem rempit, tak habis-habis dengan filem rempit. Bagi saya, ini adalah ‘circle’. Mungkin musim ini saya buat begitu, tetapi tak semestinya saya tak buat filem seram lagi.

Tetapi inilah dia keluhan saya. Apabila kita buat lebih sedikit, satu atau dua, orang akan kata, asyik-asyik itu. Tetapi apabila saya tak buat, orang tanya bila nak buat. Begitu juga masa kes filem seram dulu. Orang minat tetapi akan ada kenyataan seperti ‘tak habis-habis filem seram’. Apabila saya buat komedi, orang tanya tak nak buat filem seram. Saya pun kadang-kadang bingung. Tetapi inilah dugaan dan rintangan yang perlu saya hadapi kerana saya kena akur bahawa peredaran zaman dan masa itu berlaku.

Mungkin remaja yang menonton filem seram saya dahulu sudah dewasa, tetapi remaja yang baru, yang inginkan filem seram itu mungkin mahukan filem daripada saya. Mungkin saya akan buat juga filem seram. Jadi, ini adalah putaran. Saya sudah mengarahkan 28 filem, pelbagai genre saya sudah buat. Saya tak kekal pada satu genre, cuma saya melihat pada sesuatu keadaan dan cerita. Kalau saya yakin cerita itu saya nak buat, saya akan buat. Tetapi itu tidak bermakna saya akan buat genre yang sama juga. Tidak.

SINAR HARIAN ONLINE: Ahmad Idham takut filem seram tak laku?

AHMAD IDHAM: Buat masa ini, memang itu yang saya takutlah. Kerana banyak sangat kenyataan dan kritikan yang saya terima apabila filem seram mendapat pandangan negatif yang banyak. Tetapi baru-baru ini, saya tengok sebuah filem seram awal tahun ini ditayangkan, ‘box office’ juga. Jadi, bukan sesuatu yang senang untuk kita mengkaji dan meneliti permintaan semasa di luar sana kerana permintaan hari ini tidak sama dengan esok. Permintaan lusa tidak sama dengan hari ini. Jadi, kena banyak mencuba dan kita akan terus berjuanglah.

SINAR HARIAN ONLINE: Banyak filem arahan Ahmad Idham menampilkan Kamal Adli sebagai teraju utama sehingga ada yang mengatakan Kamal anak emas Ahmad Idham.

AHMAD IDHAM: Saya suka bekerja dengan orang yang senang bekerja dengan saya dan orang yang berdisiplin bekerja dengan saya. Orang yang saya nak pilih itu mesti ada watak yang kena dengan dia. Saya rasa awak dah tengok Gangster Celop. Ada tak orang yang berani kata, saya salah ambil Kamal dalam filem itu? Saya rasa setakat komedi yang Kamal letak dalam Gangster Celop itu, pelawak-pelawak yang ada di tanah air ini, bila-bila masa dia (boleh) pukullah. Sebagai pelakon karakter komedi yang dia letak dalam Gangster Celop itu. Bila-bila masa dia boleh pukul.

Saya percaya rezeki Kamal dalam filem itu masih belum sampai ke satu tahap yang meletup tetapi saya percaya akan meletup satu hari nanti kerana Kamal merupakan seorang pelakon karakter yang baik. Dia boleh berlakon serius, dia boleh berlakon remaja, dan juga Kamal sebenarnya lebih cenderung kepada komedi. Ketika saya buat drama Apa Celop, apabila saya ketengahkan situasi komedi, dia mendapat sambutan yang hangat di kaca TV, ketika itu rating pun meletup. Jadi, saya dapat rasa rupanya Kamal ini lebih cenderung kepada komedi. Orang lebih suka dia berkomedi. Komedi santai, komedi bersahaja, situasi komedi yang dibawa itu komedi yang bijak.

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana Ahmad Idham mengarah seorang pengarah seperti Syamsul Yusof dalam Gangster Celop?

AHMAD IDHAM: Sebagai seorang pelakon Syamsul begitu profesional bekerja dengan saya. Pada awalnya, saya pun ada terfikir bagaimana saya nak bekerja dengan Syamsul? Dia juga seorang pengarah dan Skop (Skop Productions) juga sebahagian daripada syarikat dia. Di mana dia pun ada syer. Adakah dia akan menyusahkan saya untuk mengarah dia tetapi hari pertama dia sampai, dia kata ‘abang, saya seorang pelakon. Abang tegur apa saya buat, saya nak buat yang terbaik dalam filem ini’. Itu kata-katanya yang membuatkan saya kata, ‘Ok Syamsul kalau begitu, kita profesional, saya arahkan, kamu berlakon seperti yang saya mahukan.

Rupa-rupanya, lebih senang bekerja dengan orang yang faham teknikal. Pelakon yang faham teknikal lebih senang sebab dia tak akan bertanya banyak sebab dia percaya apa yang saya minta itu adalah apa yang diperlukan oleh sebuah filem. Saya tahu ada orang berpendapat, watak Syamsul di dalam Gangster Celop ‘a bit reserve’. Sebenarnya memang karakter dia sebenarnya begitu. Dia tak boleh bawa watak sengal macam Kamal. Kena ada watak yang lebih tegas sebab mereka samseng. Dia lebih keras dan perasaan dia kurang. Barulah ada dua perbandingan. Saya memang tak benarkan Syamsul buat komedi. Tetapi jika situasi itu boleh mendatangkan komedi apabila dia berdialog, itu adalah satu bonus.

SINAR HARIAN ONLINE: Kritikan diterima atas setiap karya menjatuhkan seorang Ahmad Idham?

AHMAD IDHAM: Bagi saya, apa yang saya buat selama ini, saya tak jemu walaupun kritikan demi kritikan, tohmahan demi tohmahan saya dapat dalam setiap hasil karya saya, tetapi itu adalah kekuatan untuk saya terus berkarya. Kerana saya berpendapat bahawa kalau setakat kita buat filem, hanya untuk di Malaysia ini, kita belum boleh berbangga bahawa kita maju. Saya harus cuba dengan harapan satu hari, saya berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Kini, saya sedang cuba dengan filem Lari. Saya tak boleh cakap lagi sebab ia belum terbukti. Tetapi saya sudah mula mencuba.

SINAR HARIAN ONLINE: Ahmad Idham kecewa dengan industri?

AHMAD IDHAM: Apa yang saya kecewa selama ini dalam industri ialah melihat bahawa sistem pengurusan yang ada dalam industri ini sebenarnya tidak membantu industri perfileman banyak sangat. Kita bergerak secara bebas, secara individu. Saya ada duit, saya labur duit saya, saya ambil risiko dan saya tanggung risiko itu. Sekadar yang saya ada, hanyalah wajib tayang yang melindungi saya. Perancangan yang lebih teliti untuk membawa industri ke satu tahap yang lebih maju ke depan, perancangan untuk menembusi pasaran-pasaran yang lebih daripada kita ada, tidak ada. Sebab itu, saya rasa, apa yang berlaku pada industri hari ini adalah di mana kekuatan semangat berdikari produser, yang sanggup melabur duit mereka sendiri untuk menggerakkan industri perfileman hari ini, tetapi saya akui bahawa filem kami belum lagi sampai ke tahap untuk ke luar negara kerana kami pun tak buat untuk filem luar negara kerana kami tak nampak pasaran itu sebab kita keluar duit sendiri.

Jika ada pengurusan yang mantap, mereka akan nampak ‘oh ini adalah pembikin-pembikin filem yang terbukti mereka berjaya di negara sendiri dan mereka harus diberi penelitian, penekanan dan ruang, peluang untuk bagaimana mereka nak mengharumkan lagi produk-produk filem negara ini ke peringkat antarabangsa’. Itu harapan saya. Hari ini, Malaysia harus cepat mendapatkan pasaran kedua dan tidak hanya mengharap pasaran yang ada. Pasaran yang sedia ada ini tidak cukup untuk pembikin filem mengeluarkan kos yang lebih tinggi daripada apa yang ada kerana sambutan pasaran setakat di Malaysia, tidak cukup.

Alhamdulillah sekurang-kurangnya, di negara sendiri, industri perfileman Melayu kita sudah mendapat tempat di hati peminat. Tetapi untuk ke depan lagi, kita tak boleh hanya mengharap hanya kepada apa yang kita ada hari ini. Satu pemantauan, pengurusan industri yang lebih cekap dan lebih mampat patut diwujudkan.

SINAR HARIAN ONLINE: Sebagai penggiat seni, apa yang Ahmad Idham lihat telah berlaku dalam industri perfileman pada tahun lalu?

AHMAD IDHAM: Saya berani bersuara lantang dalam hal ini sebab ini adalah fakta. Kalau kita tengok daripada sistem yang ada dalam kementerian, daripada Finas dan semua yang ada, semua sistem itu adalah untuk menguruskan industri dan memajukan industri. Itu yang mereka ada geran, insentif dan sebagainya. Kita sampai pada satu fasa iaitu tahun 2011, kita sudah mencapai lebih RM140 juta hasil kutipan kasar untuk produk filem Melayu, yang boleh dikatakan tertinggi dengan fasa yang mereka buat itu. Saya cukup bangga dengan fasa yang ada itu. Tetapi apabila 2012, merudum begitu teruk sekali. Kenapa? Kerana apa yang mereka ada adalah… di sini saya kata, sistem pengurusan harus cekap melihat, meneliti faktor-faktor yang berlaku dalam industri. Apa yang mereka buat adalah pengurusan untuk memajukan industri.

Tahun 2012, industri (perfileman) sudah maju, kita boleh kata industri sudah maju. Berpuluh-puluh filem naik, ratusan juta kita dapat, tetapi di mana pengurusan industri maju? Pengurusan yang adalah untuk memajukan industri iaitu menggalakkan orang menerbit, memberi insentif itu, insentif ini, okey tetapi di mana pasaran barunya? Apabila insentif itu ada, orang semakin galak membuat filem. Dari sudut ekonomi, apabila pengeluaran lebih daripada permintaan, ia sudah menjadi inflasi. Pengurusan kelam-kabut. Sekejap satu filem dua minggu, sekejap seminggu. Apa yang kita tak ada hari ini ialah pengurusan industri maju.

SINAR HARIAN ONLINE: Soal penangguhan Festival Filem Malaysia ke-25, adakah ia menjejaskan kredibiliti pihak terbabit?

AHMAD IDHAM: Kalau tanya orang di luar sana sekalipun, itu saja sudah cukup untuk memberitahu betapa lemahnya pengurusan industri kita. Perkara yang dijalankan setiap tahun kita buat pun, kita kelam-kabut. Bukan susah pun nak buat festival filem ini. Tetapi itu pun dah kelam-kabut, huru-hara sekali. Jadi, apa lagi yang orang industri macam kami nak harapkan? Kami yang menerima tekanan daripada peminat-peminat di luar sana. Penonton-penonton yang sentiasa menginginkan peningkatan dalam karya-karya filem Melayu. Peningkatan dalam sebuah filem Malaysia ini, biarlah mendapat tempat di mata masyarakat dunia untuk membawa filem ke persada dunia. Filem Malaysia harus juga boleh menyumbang kepada KDNK negara supaya ia juga memberi pulangan kepada ekonomi negara.

Wah sedap cakap!

Tetapi bagaimana nak buat? Hanya dengan saya memikirkan untuk pinjam duit di bank, dan saya nak bergerak dengan hanya RM1.5 juta, kos penerbitan saja ke? Ataupun kalau saya salah cakap begitu, okey. Apa yang betul?

Dulu adalah kita dapat 20 peratus rebat daripada cukai duti hiburan. Apabila dari sudut politiknya berterabur antara negeri, kerajaan negeri tak bagi, dah hilang dah rebat duti hiburan. Timbul pula insentif lain. Bagi saya, banyak ‘pop up’. Bukan perancangan untuk lima tahun, 10 tahun. Perancangan itu seharusnya ada supaya orang seperti kami ini bersedia. Kita tahu tahun kelima, ini tak ada dah. Jadi, kita kena bersedia tetapi yang akan ada adalah yang ini di mana kita sasar untuk yang ini. Apa yang ada hanya lah cinta akan industri ini saja. Kerana kita dah terjebak saja.

Bagi saya, yang saya sebut dari sudut kementerian, saya bukan menghentam individu dalam masalah ini kerana bagi saya, saya berhak untuk bercakap apa yang sepatutnya dilakukan oleh kementerian dan Finas kerana saya pembikin filem. Saya tak sentuh peribadi tetapi saya sentuh sistem. Mungkin ada orang berpendapat, saya kata kementerian tak betul, ketua pengarah tak betul, saya tak kata begitu. Saya kata sistem yang ada hari ini harus dilihat, digubal balik, harus ada sesi perbincangan melihat balik.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");