Isu Panas

Hasil Perbincangan Susun Semula Industri Air S’gor Diumum Dua Minggu Lagi

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau akan mengumumkan hasil perbincangan kerajaan negeri dengan empat pemegang konsesi air berhubung penyusunan semula industri air di negeri itu dalam masa dua minggu.

Empat syarikat konsesi air itu ialah Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd(Syabas), Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) dan Konsortium Abass Sdn Bhd (ABASS).

Beliau berkata, buat masa ini perbincangan sedang berjalan di antara kerajaan negeri melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan syarikat konsesi terlibat termasuk Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

“Terdapat beberapa usaha untuk mencari persetujuan sebelum perkara ini dikemukakan kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air. KDEB dari semasa ke semasa akan umumkan perkembangan perbincangan dan begitu juga dengan Puncak Niaga,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri, di Shah Alam, Rabu.

Pada 20 Februari lepas, jawatankuasa exco kerajaan negeri Selangor membenarkan KDEB membuat tawaran bernilai RM9.65 bilion untuk memulakan proses pengambilalihan industri air daripada empat syarikat pemegang konsesi itu.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan berjumlah RM20,000 kepada setiap keluarga lapan anggota polis yang terkorban dalam serangan penceroboh bersenjata di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.

Beliau berkata, bantuan kewangan itu adalah sebahagian daripada dana berjumlah RM10 juta yang ditubuhkan kerajaan negeri melalui ‘Tabung Wira Rakyat Selangor’.

“Bantuan kewangan RM20,000 ini akan diberikan kepada keluarga lapan anggotakeselamatan berkenaan pada esok dan Jumaat.

“Kerajaan negeri menyokong penuh tindakan yang diambil oleh pasukan keselamatan negara dan mendoakan konflik ini diselesaikan dengan segera,” katanya.

Diminta mengulas mengenai kenyataan Tian Chua yang dilapor mengaitkan Umno dengan insiden pencerobohan bersenjata itu, Abdul Khalid menafikan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat itu ada mengeluarkan kenyataan tersebut.

Dua anggota komando polis VAT 69 terbunuh dalam insiden tembak-menembak dengan penceroboh bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 1 Mac lepas sementara enam lagi anggota polis terkorban dalam serangan hendap kumpulan bersenjata di Kampung Seri Jaya, Simunul, Semporna sehari selepas itu.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");