Isu Panas

Isu Sabah tak diundang lewatkan PRU13 dinanti?

Dua perkembangan dalam waktu yang sama. Ini kali pertama negara melalui saat tidak menentu.

Pertama, rakyat menanti Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di penghujung mandat. Kedua, di sebalik penghujung mandat itu, Sabah berhadapan dengan suasana getir. Berhadapan dengan situasi sekumpulan rakyat Filipina menceroboh Sabah khsusunya Lahad Datu sejak 9 Februari lalu.

Sementara kebanyakan kita menghitung hari untuk menyambut kedatangan PR13, isu pencerobohan pula datang tanpa diundang. Ia dikhuatiri boleh menjejaskan perjalanan pilihan raya akan datang.

Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata, sekiranya keadaan keselamatan negara semakin tegang, beliau tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan terjejas di kawasan terbabit sekali gus memberi kesan kepada keputusan pilihan raya nanti.

“Jika keadaan bertambah teruk mungkin akan menjejaskan pilihan raya tapi di kawasan terbabit saja.

“… ia tak beri kesan kepada perjalanan pilihan raya seluruh negara,” kata Ibrahim kepada Sinar Harian Online.

Walaupun pihak keselamatan menjamin situasi di Sabah di bawah kawalan dan dapat dibendung, namun beliau khuatir sedikit sebanyak akan memberi impak kepada banyak pihak yang sudah bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya setelah banyak kali berlaku penangguhan.

PM perlu fikir semula tarikh pembubaran

Buat masa ini kata Ibrahim, beliau masih memantau keadaan semasa pencerobohan itu di kala negara sedang menunggu tarikh pembubaran Parlimen, yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bila-bila masa.

Seorang lagi penganalisis politik, Dr Chandra Muzaffar berkata, jika isu keselamatan tidak ditangani segera, beliau khuatir PRU13 akan sukar dilaksanakan dalam masa terdekat sekali gus akan menjejaskan keputusannya nanti.

“Insiden itu akan menyulitkan perjalanan pilihan raya kita sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) mahupun Parlimen.

“… ia mungkin melambatkan pilihan raya, mungkin Perdana Menteri perlu memikirkan semula tarikh PRU13 walaupun beliau mempunyai perancangannya sendiri,” jelas Presiden Just ini.

Walaupun isu pencerobohan itu dilihat kemungkinan melewatkan PRU13, namun berdasarkan maklum balas yang beliau peroleh, momentum majoriti pengundi masih berpihak kepada Barisan Nasional (BN).

Dalam pada itu, Prof Madya Dr. Mohd Fuad Mat Jali dari Universiti Kebangsaan Malaysia berpendapat isu pencerobohan kumpulan bersenjata di Sabah tidak akan menjejaskan persiapan negara menghadapi PRU13.

Fuad berkata, beliau yakin kerajaan dapat menangani insiden berkenaan sebelum PRU13 diadakan.

“Saya optimis isu ini akan diselesaikan segera dan percaya PRU13 akan dibuat serentak. Pada pandangan saya mungkin pada bulan April justeru tidak timbul masalah PRU13 diadakan Beliau, bagaimanapun, tidak menolak kemungkinan jika konfrontasi ini berlarutan, SPR terpaksa menangguhkan PRU13 di Sabah.

“Kalau kerajaan tidak dapat selesaikan dalam tempoh yang ditetapkan, SPR mempunyai pilihan bagi menangguhkannya,” katanya.

Bagi PRU13, Sabah mempertandingkan 25 kerusi Parlimen dan 60 kerusi Dun.

Ditanya isu pencerobohan itu dikatakan didalangi pihak berkepentingan politik, beliau berkata, isu keselamatan negara tidak sepatutnya dipolitikkan dan seolah-olah menjadi sentimen menjelang pilihan raya bagi banyak pihak untuk meraih sokongan pengundi.

Tegas Ibrahim, tragedi berdarah yang telah meragut beberapa nyawa anggota keselamatan negara ini tidak harus dijadikan bahan kempen ahli politik dan sikap menyalahkan pihak tertentu perlu dihentikan segera sebaliknya memberi semangat kepada mereka untuk mengekalkan keamanan daripada penceroboh tersebut.

“Insiden ini tidak sepatutnya dipolitikkan, kita dapati sejak akhir-akhir ini semacam sentimen menjadikan banyak isu dipolitikkan.

“… perkata itu berlaku atas sebab lain, tak wajar dikaitkan dengan politik semasa.

“Yang penting fokus kepada keselamatan negara dan semua pihak sepatutnya memberi sokongan anggota keselamatan kita bukannya menuding jari menyalahkan mana-mana pihak sama ada kerajaan mahupun pembangkang.

SPR teruskan persiapan

Mengulas perkembangan ini, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar menjelaskan pihaknya membuat persiapan seperti biasa untuk mengadakan PRU13.

“Kerja-kerja persiapan kami berjalan seperti biasa. Kita pantau keadaan seperti biasa,” kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Sambil menegaskan beliau yakin situasi di Sabah boleh dan akan ditangani dengan baik oleh pasukan keselamatan, Wan Ahmad berkata, “kami tiada masalah. Kita tidak perlu buat spekulasi.”

Mandat kerajaan pusat akan berakhir penghujung bulan depan. Jika Parlimen terbubar dengan sendiri bermakna PRU13 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari iaitu sebelum 28 Jun. Dewan Undangan Negeri pula akan mengakhiri mandat masing-masing secara berperingkat-peringkat mulai akhir bulan ini dan awal Mei.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");