Membawang Hari Ini

Jangan tumpu kes-kes cerai terutama artis, kata Jamil Khir

Pihak media digesa memainkan peranan untuk turut menyumbang kepada pembangunan institusi kekeluargaan di negara ini dengan tidak terlalu menumpukan kepada kes-kes perceraian terutama di kalangan artis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, media sebaliknya perlu menyeimbangkan laporan mereka dengan turut memaparkan pengalaman rumah tangga yang bahagia.

“Kita tak nak tonjolkan hal-hal negatif yang begitu banyak, sehingga di luar sana yang belum kahwin rasa bimbang untuk mendirikan rumah tangga.

“Tahun lalu kira-kira 290,000 orang berkahwin di Malaysia, jadi saya tak nak kita hanya melihat kelompok kecil yang bercerai namun ia harus dijadikan sempadan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen “Sah Nikah, Sah Nasab” dan portalefamilyexpert.com di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di Bangi, hari ini.

Kempen secara berterusan di pelbagai peringkat itu antara lain bertujuan sebagai platform untuk memberi pendedahan kepada masyarakat Islam mengenai tanggungjawab dan kepentingan menjaga nasab dan keturunan.

Kempen yang diharap dapat memupuk kefahaman yang tinggi di kalangan masyarakat mengenai kepentingan institusi keluarga bahagia sebagai salah satu komponen mewujudkan negara maju itu akan dilakukan melalui pelbagai cara termasuk seminar, penyebaran risalah serta khutbah.

Jamil Khir berkata, beliau berharap pendekatan yang diambil kerajaan termasuk mengadakan kursus-kursus pra perkahwinan, dan jabatan khusus menangani isu-isu kekeluargaan akan membentuk budaya di mana rakyatnya akan menghargai institusi kekeluargaan.

“Kita ingin melihat institusi kekeluargaan masyarakat Islam mampu menjadi model dan contoh kepada masyarakat umum,” katanya.

Mengenai kes-kes perceraian yang disebabkan perbezaan fahaman politik, Jamil Khir berkata, perkara itu adalah tidak wajar sama sekali kerana politik tidak sepatutnya dibawa ke setiap aspek kehidupan.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");