Perak Hari Ini

Kerajaan Kaji Aspek Perundangan Mohon Jamalul Kiram Dibicara di Malaysia

Kerajaan Malaysia sedang melaksanakan kajian dari segi sudut perundangan bagi memohon keizinan kerajaan Filipina membenarkan Jamalul Kiram 111 yang mengaku sebagai Sultan Sulu dibicarakan mengikut sistem perundangan negara ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia dan Filipina tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dan setakat ini ketua pengganas Sulu itu tidak boleh dibicarakan di mahkamah negara ini.

“Saya yakin Peguam Negara sedang mengkaji beberapa aspek perundangan sekiranya terdapat kerjasama dengan Filipina maka Peguam Negara akan mengambil tindakan memohon keizinan daripada pemerintah Filipina bagi membicarakan Jamalul Kiram 111 di Malaysia,” katanya.

Beliau bercakap demikian kepada pemberita pada sidang media selepas mengadakan pertemuan bersama Warga Tentera Kawasan Taiping di Hanger Rejimen Ketiga Artileri  Diraja Kem Kamunting, hari ini.

Hadir sama, Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Md Dzahir Abd Rashid, Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad serta Adun Kamunting, Datuk’ Mohamad Zahir Abdul Khalid.

Menteri Pertahan juga yakin bahawa pemerintah Filipina memperoleh bukti yang cukup berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan Kiram, hasil kajian daripada kaji selidik dan dokumennya memberi gambaran jelas beliau adalah dalang di belakang pencerobohan Sabah atas tuntutan kononnya Sabah berada di bawah Kesultanan Sulu.

Beliau juga hairan bagaimana Kiram boleh mengaku sebagai Sultan Sulu memandangkan kos perubatan kesihatannya ditanggung oleh kerajaan Filipina.

“Beliau sendiri tidak mampu bergerak kerana menjalani rawatan dialisis dan rawatannya sendiri dibiayai pemerintah Filipina.

“Ertinya, beliau bukan seorang sultan yang berdaulat tidak diiktiraf oleh Filipina dan beliau tidak cukup wang untuk membeli senjata apatah lagi mengupah militan untuk berada di Sabah,” katanya lagi.

Pada sidang media itu, beliau turut membangkitkan persoalan kemampuan Jamalul Kiram membiayai pasukan pengganasnya dalam pembelian senjata, penghantaran dan pembelian aset lain hingga mengizinkan pencerobohan militan di Sabah.

Dalam satu perjumpaan dengan Setiausaha Pertahanan Filipina Voltaire T. Gazmin, beliau diberitahu di belakang Jamalul Kiram, terdapat seorang tokoh pembangkang negara terbabit yang membiayai kos perjalanan penceroboh militan dan menggunakan insiden itu bagi menjatuhkan Presiden Benigno Aquino.

“Tokoh pembangkang itu masih bergerak cergas dan beliau menggunakan isu Lahad Datu untuk meraih undi pada pilihan raya penggal pertengahan Filipina yang dijangka berlangsung pada Mei depan,” tambah beliau.

Walau bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak berhasrat untuk campur tangan dalam soal politik negara luar namun berharap kemelut pertumpahan darah di Sabah tidak dijadikan modal untuk mana-mana parti politik baik di Malaysia mahupun Filipina kerana ia melibatkan soal kedaulatan dan keselamatan negara.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");