Isu Panas

Manifesto pembangkang tidak realistik

Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh atau menaruh harapan dengan manifesto pembangkang kerana ia bukannya janji yang boleh ditunaikan.

Perdana Menteri berkata, Pilihan Raya Umum 2008 membuktikan pembangkang hanya pandai berjanji, tetapi gagal melaksanakannya di negeri-negeri yang dikuasai mereka.

“Pembangkang naik gusar dengan tema Janji Ditepati sebab kena batang hidung mereka, seolah tempelak balik kepada mereka,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Janji Ditepati peringkat negeri Perlis di Stadium Utama, Kangar semalam.

Menurutnya, pada pilihan raya umum lalu, pembangkang membuat pelbagai janji kepada ibu tunggal, suri rumah, warga emas, penghuni flat, peniaga dan lain-lain tetapi masih belum tertunai hingga kini.

“Sejak terlaksana Dasar Transformasi Nasional empat tahun lalu, ekonomi negara telah berkembang ketika dunia dalam keadaan tidak menentu,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, rakyat negara ini menikmati kehidupan yang selesa kerana memilih kerajaan yang berwawasan dan mempunyai perancangan serta pelaksanaan berkesan, selain teliti dalam membuat keputusan.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, kerajaan berjanji mengenai apa yang mampu dilakukan untuk rakyat dan tidak akan berjanji terhadap sesuatu yang tidak berpaksi kepada kenyataan.

Najib yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut melawat gerai pameran termasuk gerai e-perolehan Kementerian Kewangan dan menyampaikan sumbangan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada lima penerima di situ.

Turut mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu dan para pemimpin parti komponen BN Perlis.

Dalam satu atur cara lain di Arau selepas itu, Najib mempersembahkan sijil pelawaan penubuhan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sempena majlis menghadap di Istana Arau dekat sini.

Tuanku Syed Sirajuddin kemudiannya menyerahkan sijil pelawaan itu kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs).

Kerajaan persekutuan meluluskan penubuhan KUIPs, sebuah institusi pendidikan unik yang berkonsepkan penjanaan pembangunan dana dan sumber daya manusia melalui Program Wakaf Pendidikan (PWP).

Menurut siaran media MAIPs yang dikeluarkan sempena majlis menghadap itu, KUIPs adalah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang ditubuhkan oleh MAIPs melalui anak syarikatnya, MAIPs Holdings Sdn. Bhd.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");