Perak Hari Ini

Menuntut Ilmu Proses Pembelajaran Seumur Hidup: Tun M

Graduan yang tamat pengajian di institut pengajian tinggi (IPT) tidak seharusnya melihat segulung ijazah yang diperolehi sebagai penamat kepada mereka untuk terus berusaha mempelajari ilmu pengetahuan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad berkata, ia perlu sebagai persiapan untuk  melengkapkan graduan menghadapi cabaran abad ke-21, sejajar dengan perubahan yang sedang berlaku di sekeliling mereka.

“Prose pembelajaran tidak terbatas ketika di universiti sahaja…menuntut ilmu adalah proses pembelajaran seumur hidup yang anda harus lakukan. Anda perlu menaik taraf diri mengikut keperluan masa agar sentiasa dilihat sebagai seorang yang relevan.

“Tidak kisahlah anda dari lepasan Universiti Nottingham atau mana-mana universiti sekalipun, jika proses pembelajaran dihentikan, maka anda akan dilihat sebagai individu yang kurang berkelayakan pada masa hadapan,” katanya.

Mahathir berkata demikian ketika menyampaikan syarahan bertajuk “Graduates in the 21st Century” di Dewan Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP), dekat Seri Iskandar, hari ini.

Dalam syarahannya, beliau juga memberi penegasan terhadap kepentingan graduan mempelajar bahasa Inggeris yang dilihatnya kini sebagai bahasa utama bagi ilmu pengetahuan.

Katanya, kepentingan mempelajari bahasa Inggeris adalah keperluan bagi memastikan ilmu baru yang diperkenalkan oleh para ilmuwan dari negara luar dapat difahami dengan baik.

“Kebanyakan ilmu baru yang diperkenalkan dalam bidang pendidikan bukan dalam bahasa Melayu tetapi dalam bahasa Inggeris. Sekiranya anda berminat mempelajari sesuatu ilmu yang baru yang ditemui, maka anda perlu menguasai bahasa tersebut,” ujar Mahathir.

Tambah beliau, penguasaan bidang pendidikan juga tidak tertumpu pada penguasaan bahasa ibunda semata-mata.

“Kita perlukan pengetahuan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan kerana apa yang diterima kini tidak semesti diterima pada masa hadapan,” kata beliau lagi.

Di penghujung syarahan beliau, Tun Mahathir berkata, graduan perlu menerima kenyataan bahawa mereka bakal menghadapi persaingan di luar dan ia mampu di atasi jika graduan melengkapkan diri mereka dengan mempelajari ilmu bahasa.

 

 

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");