Perak Hari Ini

Petugas Media Bakal Mengundi Melalui Pos Buat Kali Pertama Pada PRU-13

Petugas media yang berkhidmat dengan kira-kira 100 agensi yang berdaftar dalam Direktori Media Awam 2012 diberi kemudahan mengundi melalui pos buat pertama kalinya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Kemudahan itu dipersetujui oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hasil syor Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya agar petugas media diberi kemudahan mengundi melalui pos.

Ketua Penolong Setiausaha Pilihan Raya SPR Malaysia, Mohamad Ghani, berkata sebelum ini, hanya empat katogeri kumpulan dibenarkan mengundi melalui pos iaitu anggota tentera, polis, ahli SPR dan juga petugas SPR.

“Pada PRU-13 ini, SPR memberi peluang kepada petugas media untuk mengundi melalui pos bersama empat lagi kumpulan yang dikenalpasti sebelum ini,” katanya pada sesi penerangan berhubung kemudahan mengundi melalui pos kepada petugas media negeri Perak dalam PRU-13 di Ipoh, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad memberitahu tidak semua petugas media diberi kemudahan terbabit kerana hanya mereka yang memenuhi syarat-syarat tertentu layak mendapat kemudahan mengundi melalui pos.

Katanya, dua syarat utama yang melayakkan petugas media diberi kemudahan mengundi melalui pos ialah diperakukan oleh majikan sebagai petugas media yang bertugas di luar kawasan pendaftarannya untuk membuat liputan dan perkara-perkara yang bersampingan dengannya.

Kedua, kemudahan mengundi melalui pos adalah berdasarkan permohonan yang diterima daripada mereka (petugas media) kepada pegawai pengurus bahagian pilihan raya di mana mereka didaftarkan.

“Permohonan hendaklah menggunakan Borang 1A yang akan diserahkan kepada agensi media atau dengan muat turun daripada laman sesawang SPR dan kemudiannya diisi dengan maklumat lengkap yang diperlukan.

“Majikan hendaklah memperakui bahawa petugas media yang berkenaan bertugas di luar kawasan pendaftarannya pada hari mengundi untuk membuat liputan.

“Untuk pilihan raya umum, borang yang lengkap diisi perlu dihantar kepada Pegawai Pengurus bermula pada tarikh pembubaran Parlimen atau mana-mana DUN sehingga hari kedua selepas Hari Penamaan Calon,” katanya lagi.

Menurut Mohamad, Borang 1A yang dihantar awal dari tarikh yang sepatutnya akan ditolak dan permohonan perlu dihantar semula oleh petugas media.

Sementara itu, rekod SPR mencatatkan, sehingga 22 Februari lalu, sejumlah 1,409,774 pemilih berdaftar diwartakan di negeri Perak oleh agensi berkenaan.

Jumlah Daftar Pemilih Induk (DPI) mengikut kawasan Parlimen ialah 32,814 (Grik); 46,695 (Larut); 51,524 (Parit Buntar), 54,915 (Bagan Serai); 71,401 (Bukit Gantang); 78,327 (Taiping); 28,572 (Padang Rengas); 51,709 (Sungai Siput); 89,582 (Tambun); 82,025 (Ipoh Timur); 77,920 (Ipoh Barat); 87,747 (Batu Gajah); 33,607 (Kuala Kangsar); 49,314 (Beruas); 33,600 (Parit); 63,776 (Kampar); 97,243 (Gopeng); 45,592 (Tapah); 51,626 (Pasir Salak); 88,473 (Lumut); 40,031 (Bagan Datoh); 60,620 (Teluk Intan) dan 64,641 (Tanjung Malim).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");