Sukan Hari Ini

Piala Sultan Azlan: Malaysia menang lagi, atasi New Zealand

MALAYSIA mencatat kemenangan kedua dalam Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah apabila menundukkan New Zealand 2-1 di sini malam ini.

Semalam, skuad negara mengalahkan Korea Selatan 3-2.

Selepas terikat 0-0 pada babak pertama, anak buah jurulatih Paul Revington bermain lebih kemas dan berjaya membuka jaringan lima minit selepas saingan
babak kedua berlangsung.

Gol itu hasil jaringan pemain berpengalaman Chua Boon Huat yang menyambar peluang dalam keadaan kelam kabut dengan menguis kencang ke gawang lawan pada minit ke-40.

Empat minit kemudian, Tengku Ahmad Tajudin Abdul Jalil mengukuhkan kedudukan tuan rumah dengan menjaringkan gol kedua Malaysia.

Begitu pun, New Zealand yang melakar sejarah tersendiri apabila menjuarai kejohanan itu buat kali pertama tahun lepas, tidak memberi laluan mudah kepada
Malaysia.

Turun dengan misi meraih kemenangan pertama selepas tumpas 3-4 kepada Pakistan semalam, New Zealand meningkatkan persembahan dan berjaya menyaingi Malaysia pada babak pertama tetapi dikecewakan dengan kegagalan menyempurnakan
dua pukulan sudut penalti.

Bagaimanapun, New Zealand terus mengasak dan berjaya membolosi gawang Malaysia menerusi Shay Neal pada minit ke-65.

Sementara itu, Tengku Ahmad Tajudin yang dinobatkan sebagai pemain terbaik pada perlawanan hari ini berkata beliau gembira dapat menjaringkan gol pada
perlawanan itu.

“Ini adalah satu kejayaan yang baik untuk kami kekalkan pada perlawanan seterusnya. Kami memang sudah rancang untuk lakukan sedemikian dan kami telah laksanakan,” katanya.

Terdahulu, Australia mengalahkan Pakistan 6-0 manakala Korea Selatan pula menundukkan India 2-1.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");