Sukan Hari Ini

‘Pisang tak akan berbuah dua kali’

Sotaro Shinoda (tengah) bersama Wan Zack Haikal Wan Noor (kiri) dan Nazirul Naim Che Hashim pada sidang akhbar perpindahan dua pemain Harimau Muda A itu ke kelab Divisyen 3 Jepun, FC Ryukyu di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. – BERNAMA

PETALING JAYA – Menuju ke bumi Jepun tanpa ditemani ahli keluarga mahu pun wakil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), dua pemain FC Ryukyu, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Nazirul Naim Che Hashim berazam tidak mahu mengikut jejak dua pemain negara yang sebelum ini pulang awal ke tanah air.

Tekad mahu mengubah mentaliti negatif kebanyakan pihak yang mula memandang pemain bola sepak Malaysia tidak kuat mental, kedua-dua permata Harimau Muda A itu mahu membuktikan mereka tidak selemah yang disangka.

Wan Zack paling bersemangat. Dia tidak mahu peminat meramalkan nasib mereka akan berakhir seperti Mohd. Nazmi Mohd. Faiz dan Ahmad Fakri Saarani yang pulang awal ke tanah air sebelum kontrak tamat.

”Kita tidak boleh terlalu fikirkan hal orang lain sehingga tidak memberi ruang kepada yang lain. (bermain dengan kelab luar negara).

”Kami akan cuba melalui kehidupan di sana, tambahan kali ini kami akan pergi berdua, jadi saya tidak fikir kami akan balik seperti mereka.

”Jangan samakan yang lepas dan sekarang dengan mengatakan kami berdua juga akan pulang awal, ia satu kenyataan yang tidak masuk akal, kalau kita tidak cuba, kita tidak tahu, ” katanya ketika ditemui di Wisma FAM, semalam.

Tambah Wan Zack yang pernah menjalani latihan dua minggu di sana, dia berasakan tidak berdepan masalah besar untuk menyesuaikan diri.

”Dalam aspek makanan dan budaya, saya rasa ia bukan satu masalah yang besar, malah cuaca panas di Okiniwa, sama sahaja seperti Malaysia.

”Saya sedar peluang mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasti sengit walaupun belum tahu bagaimana tahap persaingan di sana namun saya berjanji akan beri yang terbaik dan tidak berputus asa,” katanya.

Kehadiran mereka berdua akan dibantu oleh pegawai yang mampu berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris di samping bakal ditempatkan di pangsapuri yang sama dengan pemain lain.

Pemain remaja sensasi, Nazmi yang sebelum ini meraih perhatian seluruh negara mengejutkan semua pihak apabila pulang secara tiba-tiba dari S.C Beira Mar biarpun masih mempunyai kontrak selama setahun setengah dengan kelab Portugal itu.

Tanpa memberi sebarang alasan, Nazmi terus mengunci mulut sehingga ke hari ini sementara Ahmad Fakri Saarani hanya sempat berada selama tiga bulan di Portugal sebelum mengambil keputusan pulang menyertai Kelantan kerana berdepan masalah penyambungan kontrak.

Nazirul yang beraksi di posisi bek kiri juga menjelaskan dia tetap akan menjadi dirinya yang dikenali pada hari ini walaupun sudah mendapat peluang bermain di Jepun.

”Saya tidak melihat itu sebagai isu, saya tetap akan menjadi seperti mana anda semua kenal dan akan cuba mengelakkan perkara-perkara yang tidak sepatutnya dalam mengejar cita-cita.

”Walaupun mungkin ramai pihak akan lebih mengenali saya selepas ini dan mengikuti perkembangan di sana, saya tidak fikir itu satu bebanan buat diri ini, ” katanya

Wan Zack bakal menyarung jersi bernombor 33 sementara Nazirul Naim akan mendapat No. 32.
– UTUSAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");