Perak Hari Ini

Projek Pembangunan Akan Dipantau Ketat

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengarahkan pemantauan ketat dijalankan terhadap projek pembangunan di seluruh Perak bagi memastikan kejadian tanah runtuh tidak berulang lagi di masa hadapan.

Menurut beliau, tindakan tersebut bertujuan mengatasi masalah tanah runtuh akibat hujan lebat dan luar biasa yang kerap berlaku di serata tempat.

Katanya, kumpulan yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Puhat Mat Nayan dipertanggungjawabkan untuk memantau projek pembangunan yang sedang berlaku di sekitar Perak.

“Saya telah arahkan kawasan yang terlibat dengan kerja-kerja penarahan tanah dan sebagainya hendaklah dibuat pemantauan dengan lebih ketat kerana kita tidak mahu kejadian banjir lumpur  yang berlaku di Mengelmbu baru-baru ini berlaku di tempat lain,” katanya.

Beliau bercakap demikian sebagai mengulas mengenai tindakan susulan bakal di ambil oleh kerajaan negeri selepas insiden tanah runtuh yang menyebabkan banjir lumpur di Menglembu kelmarin.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis perjumpaan bersama anggota pasukan RELA dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) serta meninjau projek baik pulih rumah di Kampung Tronoh Mines, Kampar hari ini.

Katanya, arahan telahpun dikeluarkan kepada jabatan yang terlibat supaya memperketatkan pemeriksaan terhadap projek pembangunan yang sedia ada sebagai langkah pencegahan mengelak sebarang kejadian tanah runtuh berlaku.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar juga meminta Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengemukakan laporan lengkap berhubung kes tanah runtuh yang berlaku baru-baru ini.

“Saya meminta MBI melaporkan punca kejadian tanah runtuh yang berlaku yang berkemungkinan berlaku disebabkan hujan lebat yang kerap berlaku,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");