Perak Hari Ini

Sauk Pekan Kecil Ke -7 Dibangunkan Semula Di Perak

Sauk menjadi pekan kecil ketujuh di Perak dibangunkan semula oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata kerajaan melaksanakan projek mentransformasi pekan kecil di Perak agar pembangunan menyeluruh dapat dirasai rakyat negeri berkenaan .

Hari ini, pembangunan semula pekan kecil Sauk katanya, dilancarkan oleh kerajaan negeri yang membabitkan pembinaan enam unit kedai dua tingkat jenis strata, enam unit gerai dan dataran serbaguna untuk kemudahan masyarakat tempatan.

“Sauk adalah antara 14 pekan kecil di Perak yan dikenalpasti untuk dibangunkan semula berdasarkan faktor usianya dan sesuatu kawasan itu belum memiliki pusat khas untuk kegiatan masyarakat setempat.

“Usaha ini merupakan konsep pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri melalui kerjasama PKNP dan kita harap melalui usaha ini, pekan kecil yang dibangunkan semula akan menjadi platform merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek pembangunan semula pekan kecil Sauk, dekat Kuala Kangsar, sebentar tadi.

Hadir sama, ADUN Chenderoh, Datuk Siti Salmah Mat Jusak dan Ketua Eksekutif PKNP, Datuk Aminuddin Md Desa.

Dalam perkembangan berkaitan, Zambry berkata, selain Sauk, enam lagi pekan kecil di Perak sudah dibangunkan oleh anak syarikat PNKP antaranya Tapah, Lawin, Ijok, Trong, Sungai Tapah dan Gugusan Manjoi.

“Kita tidak tertumpu kepada 14 pekan kecil yang dikenalpasti sahaja sebaliknya melihat juga keperluan pekan kecil lain untuk dibangunkan dalam tempoh perancangan dua hingga tiga tahun akan datang.

“Pembangunan pekan kecil Sauk ini contohnya membabitkan komponen pelbagai kemudahan termasuklah bangunan unit kedai untuk dijual, gerai serta tempat khas untuk penduduk melaksanakan aktiviti sosial dan menjual hasil pertanian dan produk keluaran tempatan.

“Projek ini akan bermula April nanti dan dijangka siap sepenuhnya pada awal tahun depan,” katanya lagi.

Terdahulu, Siti Salmah dalam ucapannya, berkata penduduk Sauk dan kawasan sekitarnya harus berbangga dengan projek membangunkan semula pekan kecil itu yang dilaksanakan oleh PKNP.

Katanya, apabila siap kelak, nilai tanah di kawasan itu akan meningkat, sekaligus memberi kesan berganda kepada pertumbuhan ekonomi tempatan selain berupaya menarik kehadiran pelabur ke situ.

“Projek ini membabitkan transformasi antara sektor kerajaan dan swasta yang bertujuan meningkatkan kualiti hidup masyarakat Sauk.

“Ia juga memainkan peranan penting dalam proses membangunkan modal insan di Sauk dan sudah tentu mampu memperluaskan lagi peluang perniagaan kepada penduduk tempatan,” tambahnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");