Perak Hari Ini

Isu Terminal Bas Ekpres Medan Gopeng Selesai, MoA Ditandatangani Hari Ini

Masalah pengusaha bas ekspres Terminal Bas Medan Gopeng yang enggan berpindah ke Terminal Bas Aman Jaya akhirnya menemui jalan penyelesaian apabila memorandum perjanjian (MoA) ditandatangani antara kedua-dua belah pihak yang terbabit secara langsung dengan masalah tersebut.

Kesemua pengusaha bas yang beroperasi di terminal itu akan menghentikan operasi dalam tempoh 30 hari dan kemudiannya berpindah ke terminal bas baru yang terletak di Bandar Meru Raya, dekat Jelapang.

Menteri Besar yang menyaksikan upacara menandatangani MoA itu berkata, persetujuan kedua-dua belah pihak itu merupakan perkembangan baik yang menyaksikan persefahaman mampu dicapai antara pengusaha bas.

“Saya amat gembira dengan perkembangan positif yang ditunjukkan oleh kesemua pihak terlibat dalam sistem pengangkutan negeri Perak. Sebelum ini kerajaan menjadikan Medan Gopeng sebagai tapak awam namun kita telah membina terminal bas baru yang telah disiapkan di bandar Meru Raya.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua pihak kerana berjaya menyelesaikan masalah ini. Tahniah kepada mereka kerana faham akan hasrat kerajaan untuk memberi kebaikan serta manfaat kepada semua pihak,” katanya.

Beliau bercakap demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Aman Jaya berhubung pemindahan operasi bas di Terminal Medan Gopeng ke Terminal Aman Jaya di pejabat Menteri Besar, dekat Ipoh, hari ini.

MoA itu ditandatangani oleh Pengerusi Koperasi Pelancongan dan Pengangkutan Perak, Abu Bakar Fadzim dan Pengarah Rhinoairial Travel and Tours, Mohd Azwan Basir mewakili pengusaha Terminal Bas Medan Gopeng.

Walaupun mengambil masa agak lama untuk mencapai kata persetujuan, Zambry memberitahu pihak kerajaan negeri tidak mahu masalah itu diselesaikan secara tergesa-gesa kerana ingin memastikan keputusan dicapai disenangi kedua-dua pihak.

“Tugas kerajaan negeri sediakan sistem baik kepada rakyat pada masa sama golongan usahawan dapat rasa nikmat ini terhadap konsep pembangunan dilakukan berdasarkan perbincangan dan musyawarah,” jelas beliau lagi.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Datuk Aminuddin Md. Desa berkata, selepas kesemua pengusaha bas dipindahkan, pihaknya bercadang untuk menaik taraf kawasan terminal bas termasuk Silveritage bagi menarik minat pelancong.

“PKNP dalam perancangan untuk menjadikan terminal bas dan Silveritage sebagai pusat tumpuan pelancongan dalam dan luar negara,” kata beliau.

Tambahnya, konsep pelancongan Silveritage bakal menerapkan nilai budaya serta ciri yang terdapat dalam negeri Perak khususnya dalam penghasilan kraftangan, batik dan makanan.

“Kita akan meletakkan strategi untuk menarik minat pelancong dalam dan luar negeri dan saya berharap Silveritage akan menjadi pusat tumpuan pelancongan baru di negeri Perak dan akan lebih berdaya saing,” kata beliau yang menjangkakan pembangunan itu siap pada awal tahun 2014.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");