Jenayah

‘Seperti tahu ada RM40,000’

JENGKA 17 – Lima sekeluarga di Felda Jengka 17 berdepan pengalaman mencemaskan apabila rumah kedai didiami mereka didatangi lima perompak bertopeng dan bersenjata kira-kira jam 1.30 pagi kelmarin.

Dalam kejadian itu, perompak terbabit dipercayai masuk melalui tingkap bilik yang masih dalam proses ubah suai dan bertindak ganas apabila mengacukan parang ke arah mangsa di hadapan isteri serta anaknya.

Meskipun tidak mengalami sebarang kecederaan, kejadian itu menyebabkan mereka sekeluarga mengalami kerugian lebih daripada RM50,000.

Diacu parang

Mangsa, Sadikin Saidin, 35, berkata, dia baru sahaja menutup kedai runcitnya sebelum kejadian itu berlaku.

“Selepas menutup kedai, saya ke bilik air untuk mandi, manakala isteri dan tiga anak sedang nyenyak tidur.

“Sebaik keluar dari bilik air, tiba-tiba dua lelaki yang menutup muka mereka menggunakan baju, mengacukan parang ke arah saya,” katanya.

Sejurus selepas itu katanya, tiga lagi perompak memasuki rumah tersebut dan mengikatnya menggunakan kain telekung yang dikoyakkan menggunakan parang.

Isteri mangsa, Ida Azura Zawawi, 35, pula berkata, dia yang sedang tidur bersama anak bongsunya, Adam Daniem Sadikin, 3, tersedar setelah terkena cahaya lampu dari telefon bimbit.

Menurutnya, dua lagi anak mereka, Nor Syazwani Sadikin, 12, dan Nor Syamimi, 8, pula nyenyak tidur di ruang lain dan hanya menyedari mengenai kejadian itu sebaik sahaja polis tiba rumah mereka kira-kira jam 2 pagi semalam.

“Sebaik terjaga, saya duduk di sebelah suami dan turut diacukan parang. Saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana terlalu takut,” katanya.

Tahu ada RM40,000

Sadikin berkata, ketika kejadian, dia ada menyimpan wang pembayaran pembuatan rumah berjumlah RM40,000 dan perompak terbabit seolah-olah tahu mengenai wang itu.

“Saya musykil kerana perompak terbabit seolah-olah mengetahui saya memiliki wang sebanyak itu kerana mereka bertanya di mana saya menyimpannya.

“Disebabkan takut, saya beritahu di mana saya letakkan wang tersebut. Selain itu, mereka turut merampas barang kemas, wang perniagaan berjumlah RM2,000, duit poket sekitar RM1,700, lima telefon bimbit serta kunci kereta dan motosikal,” katanya.

Dia berkata, empat daripada perompak terbabit berseluar pendek, manakala seorang lagi memakai seluar panjang.

Menurutnya, berdasarkan siasatan polis, perompak terbabit difahamkan datang dengan menaiki sebuah kereta yang diletakkan di simpang masuk ke rumah kedainya.

“Perompak seolah-olah tahu mengenai keadaan rumah saya yang masih dalam pembinaan, selain tingkap masih belum dipasang.

“Selain itu, mereka juga mengetahui jumlah wang kami miliki dan kemungkinan mereka sudah merancang rompakan ini sejak awal lagi,” katanya.

Telefon bimbit hilang

Ibu Ida Azura, Azizah Puteh, 52, berkata, dia dikejutkan anaknya yang berlari ke rumahnya yang terletak di belakang rumah mereka, sebaik sahaja perompak terbabit melarikan diri.

“Saya dikejutkan laungan anak saya yang memberitahu mereka sekeluarga dirompak sekumpulan penyamun. Saya kemudiannya kejutkan suami.

“Dalam keadaan kelam-kabut, suami saya cuba mencari telefon bimbitnya untuk menghubungi polis, namun tiada,” katanya.

Bapa Ida Azura, Zawawi Zakaria, 53, pula berkata, perompak terbabit berkemungkinan memasuki rumah mereka terlebih dahulu dan mengambil telefon bimbitnya.

“Perompak terbabit mungkin tahu rumah anak saya mempunyai sejumlah wang yang banyak. Jadi, mereka masuk ke dalam rumah kami untuk mengambil telefon bimbit supaya jika kami menyedari kejadian itu, kami tidak dapat menghubungi polis,” katanya.

Sebagaimana rumah kedai Sadikin, rumah Zawawi juga masih dalam proses pembinaan sekali gus memudahkan perompak terbabit memasuki kediaman mereka.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");