Sukan Hari Ini

Azlan Shah sasar juara keseluruhan ARRC tahun ini

Antara pelumba yang bakal bersaing, Makoto Tamada, Azlan Shah Kamaruzaman dan Katsuaki Fujiwara pada pelancaran ARRC. – Foto Bernama:-

PELUMBA cub prix veteran negara, Azlan Shah Kamaruzaman menyasarkan gelaran juara dalam acara SuperSports 600cc pada Kejuaraan Motosikal Asia Petronas (ARRC) 2013 yang membuka tirai di Litar Antarabangsa Sepang pada 21 April ini.

Pelumba berusia 28 tahun itu berkata beliau yakin mampu mencatatkan kejayaan cemerlang musim ini walaupun dengan kehadiran ramai pelumba handalan dari Jepun.

Azlan Shah berganding dengan pelumba Jepun dan juga bekas juara MotoGP 2004, Makoto Tamada dalam pasukan MUSASHI Boon Siew Honda Racing Team.

“Tamada merupakan pelumba yang bagus dan gandingan bersamanya dalam pasukan dapat membantu saya untuk mempamerkan aksi yang lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kejohanan berkenaan di Kuala Lumpur hari ini.

Pelumba kelahiran Klang itu berkata beliau mahu memperbaiki prestasi pada musim ini setelah gagal menamatkan beberapa pusingan AARC pada musim lepas.

Tahun lepas, Azlan Shah menduduki tangga keempat keseluruhan dalam kategori yang sama selepas mengumpul 172 mata selepas enam pusingan perlumbaan.

Sementara itu, Tamada berkata saingan musim ini dijangka lebih sengit dengan kehadiran ramai pelumba handalan yang memburu gelaran berprestij pada kejohanan ini.

“Saya harap rakan sepasukan akan memberi persembahan terbaik bagi memastikan kami dapat mempertahankan gelaran pasukan terbaik keseluruhan,” kata pelumba berusia 37 tahun itu.

Tamada menggantikan rakan senegara Ryuichi Kiyonari yang mengambil keputusan untuk beralih ke Kejuaaraan Superbike British musim ini.

Kejuaraan ARRC 2013 bakal melibatkan enam pusingan perlumbaan melibatkan pusingan pertama di Litar Antarabangsa Sepang dari 19-21 April ini; Litar Sentul, Indonesia (16-18 Mei); Litar Madras, India (12-14 Julai).

Perlumbaan berkenaan akan diteruskan di Litar Suzuka(30 Ogos-1 Sept) dan Litar Autopolis,(6-8 Sept), kedua-duanya di Jepun sebelum berakhir di Litar Losail, Qatar (21-23 November) ini. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");