Perak Hari Ini

DS Zambry Hormati Pendirian, Keputusan Najmuddin

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menghormati pendirian dan keputusan Adun Batu Kurau, Datuk Najmuddin Elias yang tidak mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Bercakap kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah jambatan merentasi Sungai Perak Ke Tanjung Rimbun, Kampung Batu 6, Bandariang, dekat Grik, Zambry berkata, tindakan Penasihat Hal Ehwal Agama Kepada Menteri Besar itu sewajarnya dicontohi oleh pemimpin yang lain.

“Beliau merasakan sudah tiba masanya untuk memberi peluang kepada orang lain untuk meneruskan bakti dan ini tidak bermakna kita akan pinggirkan Najmuddin kerana beliau menyatakan ingin memberi sumbangan dalam kapasiti lain,” katanya.

Beliau mengulas keputusan Penasihat Hal Ehwal Agama Menteri Besar, Datuk Kapten (B) Najmuddin Elias yang mengumumkan secara terbuka tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kurau pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dalam sidang media khas di Ipoh, semalam.

Menurut Najmuddin, keputusan tidak bertanding diambil bagi memberi laluan kepada pelapis baru yang terdiri daripada golongan muda untuk menjadi calon di Batu Kurau.

Malah katanya, keputusan itu dibuat tanpa desakan atau paksaan oleh mana-mana pihak tetapi atas kerelaan dirinya sendiri.

“Saya akan memberi sokongan penuh kepada sesiapa juga calon Barisan Nasional (BN) di DUN Batu Kurau.

“Keputusan ini dibuat dengan rela hati supaya saya dapat memberi lebih banyak tumpuan kepada tanggungjawab dalam hal ehwal Islam dan dakwah di Perak,” katanya.

Berdasarkan keputusan itu juga, Mohd Najmuddin berkata, beliau akan memberi fokus sepenuhnya merealisasikan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalankan sistem politik negara kita berdasarkan prinsip wassyatiah dan memberi tumpuan serius berhubung hal ehwal agama bersama Menteri Besar.

Sepanjang menjadi wakil rakyat dua penggal, beliau telah melaksanakan pelbagai program pembangunan dan bantuan kemasyarakatan termasuk pembinaan mini stadium Batu Kurau bernilai RM2.5 juta.

Walau bagaimanapun, hasrat kerajaan negeri serta rakyat melihat kewujudan pekan baru Batu Kurau masih belum dapat ditunaikan.

“Saya berharap rakyat dapat memberi mandat baru kepada BN sebagai kerajaan supaya projek ini dapat dilaksanakan kelak,” katanya.

Ketika menjawab soalan pemberita mengenai cabaran kerusi DUN Batu Kurau ditandingi calon baru, beliau berkata, kawasan itu merupakan kubu kuat BN kerana mampu meraih 2,439 undi majoriti ketika PRU-12.

Pada pilihan raya tahun 2008, Mohd Najmuddin berjaya mempertahankan kerusi DUN Batu Kurau dengan mendapat 7,023 undi sekaligus menewaskan calon PKR, Hamid Ali yang memperoleh 4,584 undi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");