Membawang Hari Ini

Finas kaji ganjaran kepada syarikat Malaysia pasarkan produk di luar negara

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bersedia menimbangkan pemberian ‘ganjaran’ kepada syarikat televisyen (TV), filem dan kandungan digital Malaysia yang berjaya memasarkan penerbitan mereka menerusi inisiatif misi perdagangan kerajaan di luar negara.

Anggota Lembaga Finas, Richard Ung Kok Kee, berkata ganjaran yang dicadangkan itu akan berbentuk memberi keutamaan untuk memulakan projek baharu di masa depan dan kemudahan akses kepada agensi lain kerajaan bagi memasarkan penerbitan mereka, seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Ini cara kami untuk mendorong pemain industri kandungan penerbitan filem dan TV kita untuk terbabit secara serius dalam misi perdagangan anjuran agensi kerajaan…kami berada di sini untuk membantu, tanpa mengira syarikat kecil atau besar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama pada hari ketiga forum kandungan TV yang terbesar di dunia, ‘Marche International de Programmes de Television’ 2013 (MIPTV 2013) di Cannes.

Beliau berkata, syarikat yang layak bagi “ganjaran” itu perlu mengemukakan dokumen sebagai bukti yang mereka berjaya menjual produk mereka kepada pasaran asing.

“Sudah tiba masanya kami mengubah corak pemberian insentif, dan memastikan hanya syarikat yang berminat dan komited sahaja dipertimbangkan bagi insentif itu,” kata Ung.

Menerusi transformasi sebegini, beliau percaya Malaysia, sebagai pemain industri, mampu mengeluarkan produk lebih berkualiti di masa depan, mencerminkan usaha kerajaan untuk meningkatkan kedudukannya dalam platform industri kandungan TV, filem dan digital antarabangsa.

Ung berkata, banyak syarikat telah mendapat manfaat daripada pelbagai insentif dan peruntukan geran ditawarkan kerajaan untuk memacu industri itu, tetapi meremehkannya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Finas Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah, berkata pasaran filem dan televisyen tempatan telah mencatatkan perkembangan pesat, hasil sokongan aktif kerajaan Malaysia dan agensinya.

“Hasilnya, kandungan filem dan televisyen Malaysia berkembang maju dan menyumbang kepada ekonomi, sepertimana kita dapat saksikan dalam peningkatan pembangunan harta intelek (IP) bertaraf dunia, peningkatan urus niaga penerbitan bersama peringkat antarabangsa dan pemerolehan kandungan dan pengedaran perjanjian di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Katanya, antara geran dan insentif berkenaan ialah “Film in Malaysia Incentive’ (FIMI) yang bermula Januari tahun ini, yang menawarkan rebat 30 peratus kepada penerbit tempatan dan antarabangsa bagi perbelanjaan audit dalam negara; Geran Industri Kreatif USD$38 juta (oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan); Dana Pembangunan Industri Kreatif USD$ 33 juta (oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dan USD$65 juta bagi Dana MyCreative oleh MyCreative Ventures.

Mengenai FIMI, katanya Finas menjangkakan insentif itu akan menggalakkan kerja-kerja penerbitan dan peningkatan kemahiran agar setanding dengan standard antarabangsa dalam industri kandungan kreatif.

“Ia akan bukan sahaja menggalakkan penerbitan kandungan kreatif berkualiti tetapi juga menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan dan hab penerbitan filem,” katanya.

MIPTV 2013 yang berlangsung di Palais de Festival di French Riveria adalah forum perdagangan tahunan yang diadakan pada musim bunga, menghimpunkan pemain terkemuka dalam ekosistem TV dari seluruh dunia dari 8-11 April.

Lebih 40 syarikat hiburan media Malaysia terdiri TV dan filem, animasi dan studio penerbitan dokumentari menyertai acara itu yang turut menyambut ulang tahun ke-50 tahun ini.

MIPTV 2013 menghimpunkan 11,000 peserta dari 100 negara, 1,600 pempamer, 4,000 pembeli, 1,200 syarikat penerbitan dan 300 wartawan. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");