Perak Hari Ini

Gandingan Mantap, BN Perak Tampil Calon Berkelayakan Dari Pelbagai Latar Belakang

Barisan Nasional (BN) Perak menampilkan gandingan muka baru dan lama yang mewakili pelbagai latar belakang sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, calon BN kali ini memperlihatkan kombinasi daripada pelbagai latar belakang termasuklah pemimpin akar umbi hingga calon mempunyai berkelayakan tinggi dalam bidang akademik.

“Ini adalah seiring dengan hasrat yang dikehendaki oleh Perdana Menteri agar BN dapat melakukan proses transformasi dalam memastikan BN terus berada dalam persada politik tanah air,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan senarai calon BN Perak di Bangunan UMNO, dekat Ipoh, hari ini.

Antara calon muka lama yang bertanding pada PRU-13 ialah Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman, 65, yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Salak yang disandangnya pada tahun 2008.

Bercakap kepada Peraktoday.com, beliau mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak kerana memberi peluang untuknya terus menabur khidmat kepada masyarakat Pasir Salak.

“Ini peluang untuk saya menaiktaraf hidup pengundi di kawasan ini sesuai dengan program tranformasi yang diperkenalkan kerajaan BN dalam usaha memastikan rakyat di Pasir Salak terus menikmati kemajuan,” katanya.

Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Rosnah Kassim, 58, yang diumum sebagai calon DUN Behrang pula mengharapkan pertandingan yang sihat bakal dihadapi semua parti yang bertanding nanti.

“Kita negara yang amal sistem demokrasi, sesiapa sahaja dibenarkan bertanding dan harapan saya tidak kiralah samada tiga, empat atau lima penjuru pertandingan itu tetapi biarlah pertandingan sihat yang dan tidak memburukkan karakter calon kerana kita bertanding atas kekuatan diri masing-masing dan kekuatan parti,” katanya.

Sementara itu, di DUN Manjoi, BN mempertaruhkan muka baru, Mohamad Ziad Mohamed, 38, sebagai calon yang dilihat berpotensi untuk mengekalkan kerusi tradisi milik BN sejak sekian lama.

Mempunyai latar belakang pendidikan dari University of Westminster United Kingdom, Ziad berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk bertanding di kawasan Manjoi.

“Saya dibesarkan di Kampung Tengku Hussein Baru dalam Gugusan Manjoi dan rakyat telah kenal dengan keluarga saya dan saya sendiri akan berjumpa dengan pengundi di Manjoi untuk meminta sokongan daripada mereka,” katanya.

Ketika ditanya mengenai strategi meraih undi, Ziad berkata beliau akan meneruskan perancangan yang telah dilaksanakan di peringkat Parlimen namun pada masa yang sama tetap akan membawa pendekatan baru bercorak keagamaan kepada pengundi DUN Manjoi.

Selain Manjoi, DUN Pantai Remis turut menampilkan muka baru yang mewakili MCA, Koh Seh Yun, 36,

Katanya, beliau tidak gentar untuk bertanding di kawasan yang menjadi kubu kuat parti pembangkang, DAP yang juga bakal memperkenalkan calon wanita menggantikan Nga Kor Ming.

Mengakui akan cabaran sengit yang bakal dilaluinya, Seh Yun yakin kemenangan tidak mustahil dikecapi sekiranya gerak kerja turun padang dapat dilakukan untuk meraih sokongan rakyat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");