Perak Hari Ini

Hilang Ketua: Jentera Jalinan Rakyat Parlimen Kuala Kangsar Kembali Bekerja

Jentera Jalinan Rakyat Parlimen Kuala Kangsar sudah kembali menggerakkan kerja masing-masing bagi memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada pilihan raya kali ini.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Shahrizat Abdul Jalil, berkata Jalinan Rakyat yang terdiri wanita UMNO dan BN juga menyatakan taat setia kepada parti meskipun bekas Ketua Wanita Bahagian, Datuk Kamilia Ibrahim mengambil keputusan keluar parti dan bertanding sebagai calon Bebas.

“Mereka berikrar akan bersatu padu dan bekerja keras untuk memastikan kemenangan calon baik di kerusi Parlimen mahupun DUN Bukit Chandan dan DUN Manong.

“Ini sekaligus menunjukkan semangat kesetiaan dan setiakawan dan saya nampak ia tidak luntur lansung.

“Dalam tempoh sehari dua selepas kejadian itu, mereka kelihatan terkejut dengan apa yang berlaku.

“Tetapi kini, semangat mereka sudah pulih dan gerak kerja dilakukan seperti biasa dan berjalan lancar,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan jentera Jalinan Rakyat di Kuala Kangsar, petang tadi.

Pada majlis itu juga, Shahrizat mengumumkan Naib Ketua Wanita Bahagian, Norizan Subhi akan memangku jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau katanya, tidak perlu meredakan keadaan yang berlaku ketika ini sebaliknya ia membabitkan pilihan raya umum, bukan persatuan kebajikan.

“Dalam politik ia bukan persatuan kebajikan. Ini PRU…bukan situasi atau landskap yang boleh kita gadaikan agama, bangsa dan negara.

“Wanita tahu apabila mereka serah diri jadi pemimpin baik di peringkat cawangan, maka mereka setia kepada semangat organisasi,” katanya.

Tegas Shahrizat lagi, jentera Wanita UMNO dan BN juga berjanji untuk berkerja dua kali ganda untuk memastikan kemenangan calon yang bertanding.

“Saya berharap pengundi beri sokongan kepada calon BN bagi memastikan kita dapat tubuhkan kerajaan, bukan undi atas dasar simpati kepada calon tertentu,” katanya.

Isu di Kuala Kangsar timbul apabila Kamilia tidak dinamakan sebagai calon di peringkat Parlimen dan mengambil keputusan bertanding sebagai calon Bebas di Kuala Kangsar.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");