Perak Hari Ini

Kakitangan Awam Negeri Perak Terima Insentif RM500

Berita gembira buat lebih 8,000 kakitangan awam negeri Perak apabila kerajaan negeri hari ini mengumumkan pemberian insentif khas RM500 seorang yang membabitkan peruntukan berjumlah RM7.5 juta.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco terakhir bagi penggal ini, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata pemberian insentif membabitkan semua kakitangan awam negeri yang berkhidmat di Pejabat SUK, Pejabat Tanah dan Galian, Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah.

“Pembayaran insentif khas ini akan membabitkan peruntukan berjumlah RM7.5 juta dan dimasukkan dalam gaji April.

“Insentif khas ini diharap dapat memberi galakan kepada kakitangan awam negeri untuk terus berkhidmat dengan cemerlang di masa akan datang.

“Kutipan hasil yang meningkat kepada RM905 juta berbanding jangkaan hanya RM865 juta tahun lalu merupakan satu pencapaian yang baik, sekaligus membolehkan kerajaan negeri mengisytiharkan insentif khas RM500 kepada semua kakitangan awam negeri Perak,” tegasnya lagi.

Kelmarin, kerajaan negeri mengisytiharkan insentif khas RM500 kepada semua kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang membabitkan peruntukan berjumlah RM1.4 juta.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, sudah menjadi dasar kerajaan negeri menggunakan sebahagian lebihan hasil yang dikutip untuk memberi insentif kepada kakitangan awam yang berkhidmat di Perak.

“Sebahagian lagi lebihan hasil itu kita salurkan untuk projek pembangunan negeri dan rakyat seperti membaiki jalan dan memasang lampu jalan,” tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu pembangunan di Perak begitu pesat sekali sejak Barisan Nasional (BN) mengambil alih pentadbiran negeri daripada Pakatan Rakyat (PR).

Ulasnya, hasil pelbagai pendekatan yang dilaksanakan, pertumbuhan sosio-ekonomi negeri itu mencapai tahap yang membanggakan termasuklah menawarkan lebih 55,000 peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Pertumbuhan hasil negeri juga menunjukkan impak yang positif, sekaligus memberi peluang kepada rakyat Perak untuk menikmati pembangunan yang disediakan kerajaan negeri,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");