Berita Hari Ini

Manifesto BN: Janji Wujudkan Sistem Pendidikan Antara Terbaik Dunia

Barisan Nasional (BN) berjanji untuk membawa sistem pendidikan negara ke taraf antara terbaik di dunia dengan memperbaiki kualiti sekolah kebangsaan.

Manifesto BN bertemakan ‘Menepati Janji Membawa Harapan’ yang dilancarkan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak di sini malam Sabtu, berjanji membawa Malaysia ke “tahap kategori tiga teratas” dalam sistem pendidikan terbaik dunia.

Selain itu BN turut menggariskan usahanya dalam membina kecemerlangan pendidikan negara termasuk berjanji untuk memperkasakan Bahasa Inggeris dengan menjadikannya mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta memperbaiki penguasaan bahasa itu dan Bahasa Malaysia dari tahap prasekolah.

Perhatian juga terus akan diberikan untuk meningkatkan prestasi mata pelajaran Sains dan Matematik, selain membentuk kemahiran berfikir yang tinggi di kalangan pelajar, serta mengembangkan persekolahan satu sesi, dan menyediakan makmal ICT di sekolah-sekolah yang memerlukan.

BN juga berjanji menyediakan lebih banyak sekolah, meliputi semua jenis sekolah, di kawasan yang mempunyai permintaan tinggi, dan menyediakan insentif kewangan sebanyak RM100,000 setahun kepada sekolah yang menawarkan kelas pendidikan khas.

BN juga berjanji untuk menyediakan lebih banyak biasiswa berdasarkan merit dengan peruntukan khas kepada komuniti yang kurang bernasib baik.

Mengenai komuniti kecil dan kawasan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak, BN berjanji memperbaiki akses untuk pendidikan berkualiti di kawasan tersebut, dan memperluaskan pendidikan prasekolah meliputi semua jenis sekolah.

Bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT), BN berjanji untuk memperkenalkan sistem pembelajaran dan pengajaran yang mudah bagi Bahasa Malaysia di kedua-dua sekolah tersebut.

BN juga akan menukar status SJKT kepada sekolah bantuan penuh kerajaan jika sekolah berkenaan berhasrat berbuat demikian, menurut Manifesto BN.

Selain itu, BN juga berjanji untuk meneruskan peruntukan khas kepada semua jenis sekolah termasuk SKJC, SJKT, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Maktab Rendah Sains MARA, Sekolah Berasrama Penuh dan sekolah mubaligh.

Bagi guru pula, BN berjanji menyediakan laluan kerjaya baharu kepada 420,000 guru dengan membolehkan mereka dinaikkan pangkat segera berdasarkan prestasi masing-masing.Juga akan merombak institut-institut perguruan dan menaikkan syarat pengambilan guru pelatih.

BN juga berjanji mentransformasikan sekolah vokasional menjadi kolej dan menambah pelajar sebanyak 20 peratus, serta menyediakan jalur lebar WiFi secara percuma dan terjamin di semua kampus institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Selain itu, juga akan memperkenalkan skim pemilikan laptop di sekolah-sekolah berasrama dengan kemudahan internet.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");