Berita Hari Ini

Manifesto BN: Najib minta diberi peluang pimpin Malaysia

Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan tiada sesiapa dalam kalangan rakyat Malaysia yang patut merasakan diri mereka tercicir atau terpinggir daripada wacana nasional.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu turut menegaskan bahawa parti komponen itu akan berusaha merapatkan hubungan antara rakyat dan kerajaan daripada terus dikeliru dan terpedaya dengan permainan muslihat politik pihak-pihak tertentu.

“Kita mesti menanam benih-benih muhibah dan persefahaman di setiap pelosok tanah air kita, supaya kita boleh terus menuai buah-buah kemajuan dan kemakmuran untuk semua rakyat Malaysia,” katanya dalam halaman terakhir Manifesto BN dengan tajuk “Renungan.”

Manifesto BN yang bertajuk ‘Menepati Janji, Membawa Harapan’ sempena pilihan raya umum ke-13 dilancarkan Najib di sini malam ini.

“Kita akur, kerajaan BN tidak bebas daripada kekhilafan tetapi yang membezakan kami dan mereka ialah mereka tidak mempunyai ketawadukan untuk mengakui kesilapan sebaliknya mencipta alasan demi alasan dengan penuh
gegak gempita menyalahkan orang lain,” katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh 55 tahun memerintah, kerajaan BN adalah perintis kepada perpaduan kaum yang menjadi teras kestabilan nasional, bagaimanapun “pihak lain semata-mata kerana hendak berkuasa sanggup menanam benih-benih konflik dan kebencian.”

Najib berharap rakyat Malaysia menilai BN berdasarkan merit, dan terus bersama-sama beliau serta BN menggembleng tenaga bagi memastikan Malaysia menjadi sebuah negara maju yang benar-benar dapat dibanggakan.

“Sebuah negara yang mana yang susah dibantu, yang lemah dilindungi, yang berada membantu, yang kuat melindungi, yang muda dikasihi, yang tua dihargai, yang memerlukan dikhidmati dan yang berbakat digilap,” katanya.

Sementara itu, dalam prakata manifesto itu, Najib berkata sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia menggunakan kuasa yang ada di tangan mereka untuk membuat keputusan dan memilih masa depan masing-masing, dan kuasa rakyat itu mencerminkan pilihan raya yang bebas dan adil.

Katanya, rekod kerajaan BN menunaikan janji sudah cukup jelas, daripada transformasi ekonomi, politik dan sosial, sehingga kepada menjunjung hak asasi manusia dan demokrasi.

“Perubahan sebenar telahpun berlaku dan dirasai tetapi perjalanan ke arah transformasi sepenuhnya mengambil masa,” katanya.

Beliau berkata, Dasar Wawasan 2020 untuk mencapai status negara maju menjelang 2020 dilancarkan pada 1991, dan “selepas 22 tahun saya gembira menyatakan bahawa dasar-dasar kerajaan BN yang dirancang dengan berhemat dan prihatin itu telah meletakkan kita pada landasan ke arah mencapai Wawasan 2020.”

Najib yang turut menyatakan ini merupakan kali pertama beliau memimpin gabungan BN untuk menghadapi pilihan raya umum setelah terlibat dalam politik sejak 37 tahun dengan “rendah hati memohon mandat dari rakyat untuk membawa
Malaysia ke mercu kegemilangan baharu.”

“Saya meminta diberi peluang untuk memimpin sebuah kerajaan yang mendahulukan kepentingan dan kebajikan rakyat,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");