Berita Hari Ini

Najib dianggap teknokrat berwawasan

Felo kanan Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang di Singapura, Yang Razali Kassim berpendapat, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan isu utama pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Katanya, Najib ialah seorang pemimpin demokrat yang sepatutnya diberi mandat oleh rakyat kerana beliau mempunyai wawasan untuk membawa Malaysia ke persada lebih gemilang selain lebih menyerlah sebagai pemimpin berbanding tokoh pembangkang Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ahli akademik itu berkata, PRU-13 juga merupakan satu referendum tentang kepimpinan Najib.

“Kelebihan paling utama ialah wawasan beliau untuk Malaysia yang telah dikemukakan sejak empat tahun lepas apabila beliau mula menduduki kerusi perdana menteri.

“Najib meletakkan dirinya sebagai seorang pemimpin teknokrat yang mempunyai wawasan serta rancangan jitu untuk menjadikan Malaysia terus maju dan ini mewajarkan beliau diberi mandat oleh rakyat.

“Sekiranya wawasan Dr. Mahathir (bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad) untuk Malaysia ialah Wawasan 2020, wawasan Najib pula ialah 1Malaysia,” kata Yang Razali.

Beliau berkata, rangka tindakan Najib ke arah mencapai wawasan itu mengandungi pelbagai rancangan transformasi yang beliau umumkan pada malam 6 April lalu, yang merupakan tonggak bagi manifesto atau aku janji Barisan Nasional (BN).

Menurut Yang Razali, politik Malaysia telah mengalami evolusi yang amat ketara dan keputusan PRU-13 nanti akan menjadi landasan penting untuk menentukan sistemnya pada masa akan datang.

Diminta mengulas tentang aspirasi rakyat Malaysia, beliau berkata:

“Sebenarnya, Malaysia sudah mempunyai wawasan tentang perkara yang ingin dicapainya seperti yang terkandung dalam Wawasan 2020.

“Ia sebuah masyarakat progresif seperti yang dinyatakan Dr. Mahathir dua dekad lepas dan kini diteruskan Najib melalui strategi 1Malaysianya.

“Dunia unggul untuk rakyat Malaysia bukanlah sesuatu yang patut ditentukan atau diberi definisi oleh orang luar, ia suatu dunia apabila semua rakyat, tanpa mengira latar belakang kehidupan, menikmati keselesaan serta mempunyai tempat untuk menjalani kehidupan sebagai rakyat Malaysia.

“Ia juga suatu dunia yang menyuburkan semangat kekitaan dalam jiwa mereka dan membolehkan mereka sama-sama menikmati kehidupan secara aman, harmoni dan bahagia serta meraih nikmat daripada sebuah masyarakat maju, yang sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan komuniti global.”

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");