Perak Hari Ini

Negara Membangun Dan Maju Hasil Pimpinan BN

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pembangunan dan kemajuan yang dinikmati rakyat hari ini tidak terjadi begitu sahaja sebaliknya hasil kecekapan barisan kepimpinan Barisan Nasional (BN).

BN katanya, tidak mempunyai lampu ajaib seperti kisah 1001 malam yang mana kerajaan boleh melakukan apa sahaja dengan mudah.

“Apa yang kita nikmati hari ini adalah hasil usaha, amanah, bertanggungjawab, misi dan visi kepimpinan BN yang turut didokong oleh suara rakyat jelata yang mahu melihat negara ini terus maju.

“Selain itu, rakyat juga sudah sekian lama menikmati keamanan dan ketenteraman tanpa sebarang pergolakan, sekaligus membolehkan kerajaan BN meneruskan tugas memakmur dan memajukan negara ini,” katanya berucap pada majlis Perhimpunan Rakyat 1Malaysia di Padang SK Muhammad Saman, di Kampung Pasir Panjang, dekat Sitiawan, tengah hari tadi.

Lebih 2,000 rakyat jelata menghadiri majlis itu yang turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata tiada sebab rakyat perlu menukar kerajaan yang sedia ada berdasarkan beberapa faktor antaranya keselamatan yang terjamin, perpaduan rakyat serta pembangunan ekonomi yang berterusan.

“Slogan Ubah yang diwar-warkan pembangkang kita tak boleh pakai kerana tiada isu, masalah atau sebab musabab untuk kita perlu mengambil tindakan tukar kerajaan.

“Tiada sebab untuk rakyat Malaysia berdemonstrasi seperti di negara lain kerana mereka secara automatik berbuat demikian kerana perut kosong tiada makanan dan tiada sumber kewangan.

“Apabila ini berlaku, mereka mudah berpengaruh lalu mengambil tindakan demonstrasi jalanan untuk menjatuhkan kerajaan yang memerintah,” kata Muhyiddin lagi.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, rakyat tidak seharusnya mudah terpengaruh dengan slogan Ubah berdasarkan kepada kejayaan dan kemampuan BN mentadbir dan mengurus negara.

“Hari ini nama negara dikenali di seluruh dunia dan rakyat luar juga mengetahui sejarah dan kejayaan yang kita capai selama ini.

“Tahun lalu sahaja, 26 juta pelancong melawat negara ini termasuklah mengunjungi Perak dan menyaksikan masjid, kuil dan gereja berada di satu jalan…ia luar biasa tetapi semua ini berlaku di Malaysia,” katanya lagi.

Beliau turut membidas pihak pembangkang yang lantang bersuara BN tidak membela nasib semua kaum di negara ini.

“Mereka (pembangkang) ini ibarat mata tak lihat, ada telinga tak dengar kerana mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan kerana rata-rata, kita berjaya membasmi kemiskinan dan Perak sendiri adalah antara negeri yang mempunyai kadar rakyat termiskin terendah di Malaysia,” katanya.

Hasil pembangunan ekonomi yang dilakukan BN, pendapatan rakyat meningkat dan gaya hidup mereka juga berubah, katanya.

Terdahulu, ketibaan Muhyiddin disambut meriah dengan iringan tarian naga dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Nan Hwa dan paluan gendang tradisi masyarakat India.

Beliau yang teruja dengan sambutan hadirin itu menyifatkan perhimpunan hari ini sebagai luar biasa dan mungkin yang terbesar pernah diadakan di kampung itu.

“Dengan jumlah yang ramai, semangat tinggi dan berkobar-kobar pastinya tidak lain tidak bukan untuk memberikan sokongan padu kepada parti BN,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");