Membawang Hari Ini

Nor Adibah juara pertama Da’i

Nor Adibah, Mohamad Azamudin (kiri) dan Muhd Tajdid Hadhari bersama hadiah masing-masing:-

Ketepikan saingan dua finalis lelaki, sumbang wang kemenangan bagi tujuan dakwah.

Matlamatnya jitu, ingin mengembangkan syariat Islam secara menyeluruh hingga rela menyalurkan sebahagian daripada wang tunai RM50,000 yang dimenangi sebagai juara Da’i bagi tujuan itu.

Tanpa ragu-ragu, Nor Adibah Rozian, 21, yang diumumkan pemenang rancangan realiti pencarian Pendakwah Milenia, Ahad lalu, terus menyatakan hasrat itu sebaik ditanya media sekali gus menunjukkan kesungguhannya.
“Alhamdulillah, kemenangan ini berkat doa semua. Jadi saya mahu berkongsi rezeki ini dengan sebaik-baiknya, termasuk menyalurkannya ke Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di tempat saya belajar bagi melaksanakan projek atau kerja amal berkaitan dakwah.

“Sukar melaksanakan sesuatu tanpa sumber kewangan, manakala sebahagian lagi saya berikan kepada ibu bapa selain menabung. Insya-Allah, saya ingin mengadakan kenduri kesyukuran,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas selesai acara.

Penuntut jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL), Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu menjadi finalis tunggal wanita yang bersaing dengan dua pencabar, Mohamad Azamudin Zainal, 22, dan Muhd Tajdid Hadhari Romli, 25, pada kemuncak Da’i di Glenmarie, Shah Alam, Sabtu lalu.

Selain wang tunai, dia yang juga pernah menjadi panel Forum Quranic Generation turut membawa pulang hadiah iringan berupa trofi, sijil, pakej umrah, pakej percutian ke Langkawi, jam tangan tawaf, baucer makanan dan hamper.

Mohamad Azamudin dan Muhd Tajdid Hadari pula tidak pulang tangan kosong apabila masing-masing menerima wang tunai RM5,000 berserta ganjaran sampingan.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima, Ahmad Izham Omar, bersama Pengurus Besar Majalah dan Dokumentari Primeworks, Aziz Ismail.

Tidak cemburu

Terdahulu, 12 calon pendakwah muda dinilai berdasarkan tugasan mingguan selama 12 minggu membabitkan kebolehan bertazkirah, berceramah, mengimarahkan masjid, jualan amal serta melukis seni khat Islam untuk melihat kemampuan membimbing golongan muda.

Bagi kedua-dua finalis lelaki, mereka mengakui tiada perasaan cemburu apabila Nor Adibah dinobatkan juara, sebaliknya berbangga memandangkan sepanjang cabaran, mereka banyak berdiskusi bersama-sama malah reda walau siapa pun memang sedari awal pertandingan.

Sementara itu, Penerbit Da’i, Shukri Ibrahim, berkata keyakinan dan kepetahan Nor Adibah berhujah kena dengan tajuk diperoleh pada hari penentuan itu memikat juri hingga memperoleh markah tertinggi berbanding finalis lain.

“Ia bukan berkaitan siapa yang menang atau mahu dilihat berbeza daripada program seumpamanya. Tidak kira sama ada lelaki atau wanita, matlamat kami memperbanyakkan pendakwah muda malah mereka yang bukan juara juga punya kredibiliti yang tidak boleh dipertikaikan.

“Lihat saja Nasaruddin yang menjadi peserta awal Da’I, walaupun tidak mara ke pentas akhir, dia berbakat menjadi pakar motivasi. Andai bukan di bawah TV3 pun, kami yakin ramai pihak di luar sana nampak kemampuan 12 peserta ini,” katanya.

– BERITA HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");