Membawang Hari Ini

Pejuang lagu rakyat

Masih ingatkah pada lagu Cerita Kedai Kopi nyanyian Malique yang pernah popular sekitar dua tahun lalu? Mungkin ramai yang tidak menyedari artis rap berkenaan bergandingan dengan kumpulan yang dianggotai 10 anggota ini dalam lagu terbabit.

Nama Salammusik mungkin agak asing bagi penggemar muzik, tetapi sejak memenangi kategori Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-19 lalu, nama mereka kian meniti bibir peminat.

Tidak seperti artis lain yang banyak memfokuskan kepada lagu cinta dan romantik, mereka lebih selesa memperjuangkan lagu rakyat.

Lihat saja pada lagu mereka bersama Malique yang sehingga ke hari ini menjadi siulan peminat, terutama penggemar muzik raggae. Kemunculan single Aku Pelat yang kini ligat diputarkan di corong radio pula mengukuhkan lagi jenama Salammusik di persada hiburan tempatan.

Diperkuat 10 anggota

Tidak mahu disamakan dengan artis lain yang memfokuskan kepada satu genre, kumpulan ini dilihat lebih gemar mempelbagaikan nuansa muzik mereka yang santai, serta dekat dengan masyarakat.

“Walaupun orang tengok keanggotaan kami terlalu ramai, sebenarnya ia bagus kerana kami dapat berkongsi-kongsi idea. Semua orang boleh sumbangkan karya mereka,” kata vokalisnya, Ashraaf Azlan atau Salam.

Selain Salam, kumpulan yang ditubuhkan sejak 2006 itu turut menyaksikan Tip dan Eyza bertindak sebagai penyanyi utama. Eyza pula bak bunga yang dikelilingi kumbang kerana dia satu-satunya anggota wanita dalam kumpulan yang turut dianggotai Ahmad Bulya, Payung, Kamal Razali, Amar, Jazmin, Efry Arwis dan Djambul.

Bawa muzik Malaysia ke peringkat global

Salammusik agak istimewa bukan kerana jumlah anggotanya saja, bahkan lagu dihasilkan turut menyuntik elemen gambus, gamelan, genderang dan muzik bertali.

Matlamat mereka adalah untuk mengangkat irama tradisional Malaysia ke peringkat antarabangsa, menerusi lagu yang ringan, ringkas dan santai.

“Kami lebih kepada konsep irama kerana banyak elemen muzik dapat didengar dalam lagu kumpulan ini. Sumber inspirasi kami dalam berkarya lebih kepada realiti kehidupan dan apa yang berlaku di sekeliling. Sebab itulah lagu kami lebih bersifat kemasyarakatan.

“Kami juga ada menghasilkan satu lagu Hindi berjudul Gulab, yang bermaksud bunga mawar. Idea menghasilkan lagu ini timbul selepas mendengar lirik sebuah lagu Hindustan,” katanya.

Sehingga kini, Salammusik menghasilkan dua album, masing-masing Salam Musik (2011) yang memuatkan sembilan lagu dan O (2013) yang mengandungi 13 lagu.

Kejutan pada malam kemuncak ABPBH

Hasil kejayaan pada AIM19 juga, mereka akan memulakan jelajah ke Eropah pada Julai dan Ogos ini, dari Jerman hingga ke Perancis.

“Kami banyak bereksperimen dalam lagu dan dengan pencapaian ini, ia membolehkan kami merantau ke luar untuk membawa muzik Malaysia.

“Kami boleh diibaratkan sebagai kumpulan atas pagar kerana ada ketikanya kami ke gig dan ada kalanya ke arus perdana,” katanya yang akan membuat persembahan penutup pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012 pada 7 April ini.

Peluang yang diberikan BH amat dihargai kumpulan ini kerana selain dapat beraksi pada acara berprestij, inilah juga peluang yang dianggap mereka sebagai medan untuk lebih dikenali ramai.

Bagaimanapun mereka mahu merahsiakan dulu kejutan yang bakal dilakukan ketika menyampaikan lagu Aku Pelat.

Info: Salammusik
Album: Salam Dalam Dub Malas (kompilasi) (2008), Salam Musik (2011) dan O (2013)
Single: Cerita Kedai Kopi, Alamak (duet bersama Altimet), Lupakan Semalam, Bangkit (duet bersama DJ Fuzz dan Altimet) dan Aku Pelat (duet bersama Ziondread)
Pencapaian: Lagu Hip-Hop Terbaik AIM17 dan Album Terbaik AIM19.

– BERITA HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");