Berita Hari Ini

Pemimpin akar umbi tentukan masa depan negara

Pemimpin akar umbi seperti ketua kampung dan imam memainkan peranan penting dalam menentukan corak kepimpinan negara, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Sehubungan itu, Shafie yang juga Naib Presiden UMNO berkata, pemimpin akar umbi berkenaan perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan berkesan kerana kegagalan berbuat demikian boleh memberi tempias kepada kepimpinan negara.

“Saya memperingatkan mereka (pemimpin akar umbi) tentang betapa pentingnya pilihan raya akan datang untuk kita mempunyai pemimpin yang boleh menjadi tempat kita bergantung bukan hanya dalam memimpin negara tetapi juga dalam konteks landasan agama Islam.

“Kita perlukan seorang pemimpin yang boleh membawa kita ke arah kejayaan selaku umat Islam di negara ini dan bukan ke arah yang terpesong,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan ketua kampung dan imam di Semporna, semalam.

Turut hadir Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Nasir Tun Sakaran.

Menurutnya, umat Islam di negara ini tidak boleh silap memilih pemimpin kerana sekali berlaku kesilapan ia akan memudaratkan umat dan negara.

Mengenai sokongan pemimpin akar umbi kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) Shafie berkata, sejak dahulu lagi sokongan kepimpinan akar umbi dan penduduk Semporna kepada kerajaan sememangnya kuat dan beliau berharap sokongan mereka terhadap BN akan terus kekal.

Bagaimanapun, Shafie mengingatkan jentera dan penyokong BN supaya tidak terlalu yakin, alpa serta menghindari sifat takbur sebaliknya sentiasa merendah diri dan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat yang memerlukan.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");