Laporan Eksklusif

Program Permata Kurnia Diperkenalkan, Bantu Kanak-Kanak Autisme Berdikari

Pembangunan sektor pendidikan awal kanak-kanak di negara ini yang dipelopori Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor terus mengorak langkah ke hadapan apabila Program Permata Kurnia (Permata Autisme) diperkenalkan bagi memenuhi keperluan kanak-kanak yang menghidap autisme dan keluarga mereka.

Program intervensi awal secara komprehensif ini bakal mengurangkan beban keluarga yang mempunyai anak autisme kerana kos menghantar mereka ke pusat khas adalah tinggi iaitu antara RM2,000 hingga RM10,000 sebulan.

Rosmah yang juga Penaung Program Permata berkata, sebuah pusat dikenali Pusat Permata Kurnia bernilai RM28 juta akan dibina atas tanah seluas 1.04 hektar di Jalan Sentul, dekat Kuala Lumpur bagi menjayakan program berkenaan.

Projek pembinaan katanya, akan bermula Ogos nanti dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2015.

“Kanak-kanak autisme tidak boleh menjadi kanak-kanak normal dan mereka juga tidak boleh diubati tetapi mereka boleh diuruskan.

“Sebilangan mereka ini mempunyai keupayaan kognitif yang tinggi di mana mereka mempunyai kebolehan luar biasa yang tidak dapat dikembangkan disebabkan kecelaruan sosial dan komunikasi mereka.

“Oleh itu adalah penting kanak-kanak autisme diberikan intervensi awal, bertujuan mengajar mereka menjalani kehidupan meliputi aspek kemahiran urus diri, bermain dan bergaul sejak awal,” katanya pada prapelancaran program itu yang berlangsung di Seri Perdana, hari ini.

Tegas Rosmah lagi, projek yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan akan menawarkan tiga jenis perkhidmatan termasuk Intervensi Sepenuh Masa untuk 100 hingga 150 kanak-kanak yang berusia antara empat hingga enam tahun.

Perkhidmatan lain yang ditawarkan ialah Intervensi Sokongan dan Keluarga iaitu program berpakej untuk mereka berusia di bawah empat tahun dan ibu bapa atau penjaga mereka yang berminat untuk mempelajari teknik intervensi yang boleh diaplikasikan di rumah.

“Selain itu, kita juga menawarkan Program Latihan untuk menyediakan keperluan latihan kepada pendidik, ahli terapi, ibu bapa dan orang ramai dalam pelbagai aspek autisme”, katanya.

Seramai 65 tenaga pengajar tempatan yang berkelayakan dalam bidang berkenaan akan ditempatkan di pusat itu dan mereka akan mengguna pakai modul yang digubal oleh pakar, tegas beliau lagi.

“Pemilihan pelajar pula akan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Pediatrik Hospital Kuala Lumpur dan Child Development Centre Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

“Jika projek perintis ini berjaya, Program Permata Kurnia akan akan dikembangkan di negeri-negeri lain dan kalau boleh saya mahu setiap daerah memiliki sekolah seperti ini terutama di kawasan luar bandar,” katanya lagi.

Autisme adalah sejenis kecacatan perkembangan fungsi otak yang menyebabkan kecelaruan dan akan menimbulkan masalah perhubungan sosial, berkomunikasi dan hidup seolah-olah dalam dunia mereka sendiri dan majoriti daripada mereka tidak mampu berdikari dan perlu bergantung kepada keluarga.

Kajian oleh Kementerian Kesihatan pada 2004 mendapati kadar prevalens autisme adalah satu kes bagi 600 kelahiran, dengan anggaran terdapat 13,333 kanak-kanak berusia 15 tahun ke bawah menghidap autisme di negara ini pada masa itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");