Jenayah

PRU13: Pihak bertanggungjawab dalam kejadian letupan berhampiran bilik gerakan BN di Nibong Tebal diminta serah diri

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memberi amaran kepada pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian letupan berhampiran bilik gerakan Barisan Nasional (BN) di Nibong Tebal, Pulau Pinang, malam tadi supaya menyerah diri dengan segera.
Beliau menyifatkan insiden itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana mengganggu proses pilihan raya dan cubaan menakutkan orang ramai yang boleh menimbulkan keadaan huru-hara di negara ini.

Katanya, siasatan awal Unit Letupan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan letupan itu disebabkan bahan letupan buatan sendiri yang diletakkan dalam longgokan sampah di kawasan ceramah, dipercayai bermotif khianat terancang.

“Individu berkenaan lebih baik serah diri sebelum kita tangkap, jangan gusarkan keamanan negara walaupun apa motif yang dirancang, bukan begitu caranya.

“Hanya seorang mangsa mengalami kecederaan kecil, tetapi letupan itu dibuat untuk merosakkan dan mungkin membunuh,” katanya pada sidang media diadakan di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) negeri sempena lawatan pemantauan persiapan pilihan raya polis Perak, di Ipoh, hari ini.

Justeru, Ismail berkata pihak polis di seluruh negara sudah diarahkan meningkatkan kawalan keselamatan di setiap lokasi ceramah bagi mengelak kes ulangan.

“Ini adalah faktor utama semua parti politik diminta untuk mendapatkan permit polis bagi memudahkan pemantauan keselamatan lokasi sebelum ceramah dimulakan,” katanya.

Ismail juga memberi jaminan kepada orang ramai bahawa pihak polis akan menggunakan semua elemen dalam pasukan polis bagi menahan suspek yang jika disabit kesalahan boleh didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam tadi, satu letupan berlaku berpunca daripada alat letupan rekaan (IED) yang diletakkan dalam longgokan sampah di kawasan ceramah.

Siasatan lanjut pihak polis menemui dua IED sebesar kotak rokok yang ditetapkan masa berbeza untuk menghasilkan dua kali letupan dalam longgokan sampah hingga mengakibatkan seorang petugas keselamatan berusia 35 tahun cedera di kaki kanan terkena serpihan sampah akibat letupan itu.

Ketika kejadian, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Teng Hock Nan sedang menyampaikan ceramah pada majlis yang dihadiri lebih 3,000 orang.

– BERITA HARIAN
Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");