Perak Hari Ini

Dakwaan Wakil Rakyat BN Lompat Parti Bukti Pembangkang Terdesak

Dakwaan pembangkang dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak akan melompat parti membuktikan pihak pembangkang semakin terdesak hingga sanggup melemparkan fitnah untuk menimbulkan kesangsian di kalangan rakyat jelata.

ADUN Belanja, Mohd Nizar Zakaria, berkata semua pihak termasuklah pihak pembangkang harus akur dan redha di atas kemenangan yang berpihak kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu.

“Bagi saya, dakwaan pembangkang ADUN Bota dan ADUN Slim akan melompat parti hanyalah sekadar provokasi mereka yang sebenarnya cukup terdesak berikutan kemenangan yang berpihak kepada BN pada pilihan raya umum lalu.

“Datuk Nasaruddin Hashim dan Datuk Khusairi Talib masing-masing sudah menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan rakyat juga sebenarnya sudah muak dengan tingkah laku wakil rakyat pembangkang yang terus mempertikaikan kemenangan BN dengan membangkitkan isu yang remeh-temeh,” katanya kepada pemberita selepas meninjau aktiviti Homestay Gopeng di Kampung Sungai Itek, dekat Gopeng, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Nizar yang juga Pengerusi Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, berkata proses penubuhan kerajaan negeri dan Pusat sudah selesai dan kini tiba masanya wakil rakyat yang terpilih kembali bekerja untuk membangunkan negara.

“Hentikan provokasi melampau dengan menuduh wakil rakyat BN mahu lompat parti dan menganjurkan perhimpunan Bantah 505 kerana terbukti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berjaya melaksanakan tugasnya dengan cukup telus.

“Mengikut amalan demokrasi yang kita amalkan, rakyat akan memilih pemimpin untuk mewakili suara mereka pada setiap lima tahun dan mana-mana parti yang mendapat kemenangan majoriti berhak menubuhkan kerajaan baik di peringkat Pusat dan negeri.

“Sejak dari dahulu lagi, kita di pihak BN sentiasa redha dengan sebarang keputusan yang berlaku dan terus bekerja untuk membangunkan negara, bukannya seperti pembangkang yang cuba menghuru-harakan negara dengan provokasi melampau,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");