Perak Hari Ini

Hina PM: Tindakan Kit Siang Boleh Cetus Konflik Perkauman

Tindakan biadap Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang menggelar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai ‘syaitan’ boleh mengheret negara kepada konflik perkauman yang menjurus kepada peristiwa 13 Mei 1969.

Ketua UMNO Bahagian Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hasan berkata, sehubungan itu pihak berkuasa diminta mengambil tindakan tegas terhadap Kit Siang bagi mengelakan perkara tidak diingini berlaku.

Menurutnya, UMNO Bahagian Parit telah membuat satu laporan polis terhadap Kit Siang kerana mengeluarkan perkataan biadap tersebut dalam satu ceramah di Dewan Chin Woo, Ipoh dua hari lalu.

Beliau berkata, laporan itu juga dibuat bagi mendesak Ahli Parlimen Gelang Patah tersebut menarik balik perkataan berkenaan kerana ianya boleh menimbulkan perbalahan kaum di negara ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit berkata, gelaran yang dibuat terhadap Perdana Menteri itu, bukan sahaja melukakan hati ahli UMNO, tetapi turut melukakan hati seluruh orang Melayu.

“Tindakan biadap tersebut juga sekaligus menimbulkan kebencian kaum di kalangan masyarakat Melayu dan bukan Melayu.

“Jika perkara berkenaan tidak diawasi dan diatasi dengan segera, kemungkinan besar negara bakal diheret kepada konflik perkauman yang menjurus kepada Peristiwa 13 Mei 1969,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah di Seri Iskandar dekat Parit, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Belanja), Mohd Nizar Zakaria.

Mengulas lanjut, Zaim berkata, UMNO Bahagian Parit memandang serius perkara berkenaan kerana ianya diucapkan di hadapan 3,000 masyarakat Cina sekaligus boleh menimbulkan kebencian masyarakat Cina kepada kerajaan.

“Saya meminta pihak berkenaan supaya lebih bertanggungjawab ketika mengeluarkan kata-kata kerana ianya boleh mengundang padah kepada keamanan negara,” katanya.

— NOORAINI MAHAMAD

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");