Sukan Hari Ini

Mana semangat Koo-Tan?

Pada ketika Kejohanan Dunia di Guangzhou, China tidak sampai tiga bulan akan dilangsungkan, beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong membuat pengakuan secara terbuka bahawa persiapan yang dilakukan bagi menghadapi pertandingan berprestij itu seolah-olah masih belum mencukupi.

Kekalahan demi kekalahan yang dihadapi gandingan yang berada di ranking No. 2 dunia itu pada pertandingan berstatus Siri Super telah membangkitkan persoalan mengenai kemampuan mereka untuk berdepan beregu handalan dunia khususnya gandingan Korea Selatan, Kim Sa Rang-Kim Ki Jung.

Bagai badi setiap kali berdepan Sa Rang-Ki Jung ekoran tidak pernah melakar kemenangan ke atas pasangan Korea Selatan itu dalam ketiga-tiga pertemuan yang membabitkan kedua-dua beregu berkenaan, tanpa berselindung Boon Heong memberitahu, dia berasa agak gentar setiap kali berdepan dengan gandingan tersebut.

?Saya berasa takut setiap kali turun menentang mereka (Sa Rang-Ki Jung), mudah hilang fokus dan kelemahan ini yang perlu kami perbaiki. Dalam tiga pertemuan menentang mereka, kesemua perlawanan itu kami kalah. Saya sedar masalah ini perlu kami atasi segera sebelum kejohanan dunia,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Sebanyak tiga kekalahan yang dialami mereka kepada beregu No. 5 dunia itu ialah pada Terbuka Malaysia, Terbuka Jepun dan yang terbaharu Terbuka India.

Kien Keat pula berkata, begitu banyak kelemahan yang perlu mereka perbaiki terutama dari segi fokus dan kekuatan mental ketika berada dalam gelanggang.

Jelasnya, mudah hilang tumpuan setiap kali beraksi menyebabkan mereka begitu mudah memberi mata kepada pihak lawan.

?Kami sebenarnya mudah untuk mendapatkan mata, tetapi mudah juga memberi mata kepada lawan. Inilah tabiat buruk kami yang perlu diatasi segera,” ujarnya.

Kien Keat turut mengakui, terlalu banyak kelemahan yang perlu diperbaiki menyebabkan dia berasa masa yang ada tidak mencukupi untuk membuat persiapan rapi menjelang Kejohanan Dunia pada 5 hingga 11 Ogos ini.

?Untuk kembali bersaing dengan beregu handalan dunia, kami perlu perbaiki banyak kelemahan antaranya kekuatan mental kerana kami mudah hilang fokus, persediaan dari segi fizikal dan juga skil,” tegasnya.

Semalam, Kien Keat-Boon Heong dipaksa bekerja keras sebelum menundukkan rakan senegara, Ong Jian Guo-Teo Kok Siang dalam permainan yang diheret sehingga ke set penentuan pada pusingan pertama Grand Prix Emas Terbuka Malaysia 2013 di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Kien Keat-Boon Heong yang merupakan pilihan pertama kejohanan menang 13-21, 21-13, 21-14 dalam perlawanan yang berlangsung hampir sejam.

Boon Heong memberi alasan lawan yang merupakan teman sepelatih menjadikan kekuatan dia serta Kien Keat telah diketahui dan terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan beregu yang lebih junior daripada mereka itu.

– UTUSAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");