Membawang Hari Ini

OMK Bukan Filem Syok Sendiri

BIARPUN hanya setahun jagung dalam industri perfileman, ia bukanlah menjadi penghalang buat artis muda, Nurul Ain Nordin, 25, berkecimpung dalam bidang pengarahan.

Mendapat pendidikan dalam bidang perfileman sebelum ini, Ain melangkah setapak ke depan dengan menghasilkan skrip filem Oh Mak Kau (OMK) dan turut bertindak sebagai pelakon, pengarah dan juga penerbit bersama.

Menegaskan penghasilan OMK bukan sekadar syok sendiri, Ain berkata, idea ini tercetus setelah melihat kebanyakan filem gangster sekarang meletakkan pelakon muda sebagai teraju utama.

“Dek kerana kerap melihat pelakon muda sebagai teraju utama, saya terfikir kenapa tidak gangster-gangster dari orang yang lebih berusia, kerana kalau tidak ada generasi tua, tidak adalah generasi muda.

“Selain itu saya selitkan mesej mengenai kasih sayang antara adik dan abang, ibu dan anak serta ayah dan anak dalam filem ini,” ujarnya kepada Zass.

Meletakkan barisan pelakon otai seperti Abon sebagai Pak Maun, Wan Maimunah sebagai Mama San, Didie Alias sebagai Embun, Yassin Yahya sebagai Typo, Ain turut menyelitkan pelakon muda seperti Shuib Sepahtu, Jep Sepahtu, Syamsul Yusof, Ayda AF4, Kay AF9 dan Faiz Raja Lawak 4 dalam filem pertamanya ini.

Menurut Ain, ketika penghasilan skrip yang dilakukan bersama Salwa Surol, dia sudah membayangkan siapa pelakon yang akan membintangi setiap watak yang direka itu.

“Biarpun gugup pada mulanya, saya amat teruja dan terharu apabila mereka sudi memberi kerjasama untuk berlakon di dalam filem ini. Malah, mereka juga banyak memberi idea kepada saya ketika saya mengarahkan filem ini,” katanya.

Ain berkata, apa yang menjadi harapannya sekarang adalah penerimaan penonton terhadap filem yang bakal ditayangkan 16 Mei ini, memandangkan dia adalah pengarah baru.

“Biarpun mendapat maklum balas dan sokongan yang positif daripada penonton dan media yang menonton OMK, baru-baru ini, saya tetap gugup memikirkan penerimaan penonton kelak.

“Saya harapkan yang terbaik, semoga mereka dapat menerima fi lem ini. Jika OMK berjaya, saya tidak menolak untuk menghasilkan filem lain lagi selepas ini,” ujarnya.

Syamsul turut bantu

Ain berkata, biarpun masih baru, dia amat bertuah kerana mempunyai satu team yang cukup berpengalaman dan dapat membantunya sepanjang penghasilan filem ini.

Menurutnya, biarpun tempoh penggambaran hanya berlangsung selama 23 hari, tetapi dia bersyukur kerana dapat menyiapkan penggambaran dalam tempoh yang ditetapkan.

“Biarpun ramai pelakon otai dan ada juga Syamsul yang berpengalaman dalam filem aksi, tetapi mereka tetap menghormati saya sebagai pengarah.

“Malah, Syamsul juga tidak pernah mengganggu kerja saya dan tidak lokek untuk memberi idea apa yang perlu saya lakukan mengenai sudut kamera dan sebagainya,” katanya.

Diganggu gangster

Dalam pada itu, Ain juga tidak dapat melupakan peristiwa set penggambarannya diganggu kumpulan yang datang meminta wang perlindungan.

Ain berkata, dek masalah yang timbul itu, penggambaran yang sepatutnya pada sebelah malam, hanya dapat dilakukan pada jam 5 pagi.

“Ketika itu ia melibatkan babak letupan kereta di padang, dan kami didatangi sebuah kumpulan yang mengakui diri mereka menjaga kawasan itu dan menghalangkan kami menjalankan penggambaran.

“Mereka kata jika saya mahu membuat penggambaran, saya perlu membayar wang perlindungan. Jadi selepas perkara itu diselesaikan barulah saya dapat meneruskan penggambaran,” katanya.

OMK berkisarkan dua beradik, Sam (Jepp) dan Mun (Shuib) dengan kata simbol mereka, ‘kemas balik selepas mencuri’ sering mencetuskan kemarahan ibu mereka.

Segalanya berubah dengan kedatangan Que (Ain), seorang wanita yang berjaya mencuri hati mereka berdua.

Kehadiran Que juga membuatkan Embun (Didie) terasa tergugat kerana menganggap Que cuba menentang dan merampas kawasan miliknya.

– SINAR HARIAN

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");