Perak Hari Ini

Penyediaan Infrastruktur Asas Antara Fokus Kerajaan Perak

Kerajaan Perak akan memberi tumpuan utama kepada penyediaan infrastruktur asas yang merupakan teras kepada pembangunan sosio-ekonomi sesebuah negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, berkata para pelabur akan berminat untuk menanam modal di Perak sekiranya infrastruktur asas dapat disediakan dengan sempurna.

“Walaupun pada dasarnya kita di peringkat negeri tidak menghadapi masalah dari segi perhubungan dan logistik, namun penyediaan infrastruktur asas perlu diberi penekanan sebagai elemen tambahan untuk menarik kehadiran pelabur luar,” katanya kepada pemberita selepas majlis serah tugas di Ipoh, hari ini.

Terdahulu, Zainol menerima nota serah tugas daripada bekas Pengerusi Kemudahan Awam, Tenaga dan Air pada penggal lalu, Datuk Ramly Zahari.

Mengulas lanjut, Zainol yang sebelum ini merupakan Exco Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri pada penggal lalu turut mengharapkan agar semua pengarah dan ketua jabatan berkaitan portfolio baru yang disandangnya dapat membantunya dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan itu.

Selain itu, penyediaan infrastruktur asas katanya, amat penting sebagai permulaan untuk menjana hasil atau pendapatan kepada negeri.

“Jika infrastruktur asas tidak disediakan, maka tiada pulangan untuk negeri dari segi pelaburan dan beberapa agensi termasuklah Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Lembaga Air Perak (LAP) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri,” katanya lagi.

Mengakuinya sebagai satu cabaran baru berbanding portfolio yang disandang sebelum ini, Zainol yang juga Adun Sungai Manik menegaskan, selain komersil, elemen khidmat kepada rakyat juga akan diberi perhatian oleh kerajaan negeri.

Sebagai contoh, polisi memberi air percuma kepada rakyat yang tersenarai dalam daftar e-Kasih akan diteruskan oleh kerajaan negeri, katanya.

Tegasnya, mengikut rekod LAP, setakat ini, lebih 10,000 keluarga di Perak menikmati bekalan 20 meter padu air secara percuma.

Selain itu, lebih 2,000 rumah ibadat di negeri itu turut menikmati kemudahan yang disediakan agensi berkenaan, katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");