Perak Hari Ini

Perak Perhebat Usaha Bela Nasib Nelayan

Kerajaan Perak menerusi Jabatan Perikanan negeri akan terus mempergiatkan usaha membela nasib golongan nelayan di seluruh negeri terutamanya bagi membebaskan golongan berkenaan daripada belenggu kemiskinan.

Pegawai Daerah Manjung, Zamari Mohamad Ramli, berkata antara langkah proaktif yang dilakukan jabatan itu termasuklah mengeluarkan lesen sampan kepada nelayan tulen bagi membolehkan mereka berkongsi kemewahan negara dengan menangkap ikan secara sah.

Menurutnya, seramai 30 orang nelayan di sekitar Daerah Manjung hari ini terpilih menerima lesen khas sampan masing-masing.

“Selain daripada itu, seramai 12 orang nelayan turut menerima bantuan berupa peralatan pemadam api, lampu suluh LED di bawah program ‘touch point’ Jabatan Perikanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan hari Bertemu Pelanggan dan Majlis Interaksi Nelayan sempena Kempen Kesedaran Kenali Ikan Yu dan Pari di Dewan Serbaguna JKKK Padang Tembak, dekat Lumut.

Hadir sama, Pengarah Perikanan Negeri Perak, Sani Mohd Isa; Ketua Daerah Perikanan (KDP) Manjung, Rosdi Nazari Mat Din dan Penghulu Mukim Lumut, Ahmad Khamis Abu Sahid.

Sementara itu, Zamari berkata, Perak mencatatkan pendaratan ikan yu dan pari di antara 3,000 hingga 4,000 tan metrik setahun.

“Perak berada di kedudukan ketiga selepas Sarawak dan Sabah mendaratkan ikan yu dan pari. Keadaan ini jika berterusan bakal menyebabkan spesies yu dan pari bakal pupus.

“Jadi, kempen penerangan dan kesedaran seperti dilakukan hari ini akan diperhebatkan bagi memulihara sumber marin berkenaan,” katanya.

– NOORAINI MAHAMAD

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");