Sukan Hari Ini

Piala FA: Insiden tak luntur semangat pemain

Kekecohan aksi separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dengan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Darul Makmur Selasa lalu tidak sesekali melunturkan semangat pemain skuad Harimau Selatan untuk memburu tiket ke final.

Sebaliknya, jurulatih JDT, Fandi Ahmad berkata, perlawanan yang dibatalkan itu semakin meningkatkan lagi moral pemain yang sudah bersedia untuk berdepan skuad Tok Gajah dalam perlawanan semula di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

“Pemain saya tidak tertekan mahupun trauma dengan insiden tersebut, sebaliknya moral pemain tampak begitu tinggi untuk membuat perhitungan di gelanggang berkecuali.

“Lagipun mereka pemain profesional dan saya rasa pemain mampu menghadapinya dengan tenang, saya yakin mereka mampu melakukan sesuatu esok dan memastikan slot ke final milik kami,” kata Fandi kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Dalam pada itu, Fandi juga menggesa anak buahnya berjuang berhabis-habisan di mana tempoh 90 minit harus dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pemain sekiranya tidak mahu terlepas peluang mara ke aksi final.

Menurutnya, jika semua pemain mampu tampil cemerlang, peluang melangkah ke final adalah cerah.

“Saya harap pemain dapat mengekalkan momentum yang sama seperti mana ketika mereka berhempas pulas untuk mara ke separuh akhir.

“Mereka juga harus bijak mengatur serangan selain perlu mendominasi di bahagian tengah dan yang paling penting jangan melakukan kesilapan yang mudah kerana ia pasti mengundang pada kepada pasukan kami,” jelas Fandi yang sudah membuat persediaan terbaik untuk anak buahnya.

Untuk rekod, JDT menang 1-0 ke atas Pahang pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Sabtu lepas.

Pemenang perlawanan itu akan menentang juara bertahan, Kelantan pada final Piala FA, 29 Jun ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil selepas pasukan itu menundukkan jiran mereka, Terengganu dengan keputusan agregat 6-5, Isnin lepas.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");