Jenayah

2 beradik edar dadah RM720,000 ditahan

SHAH ALAM: Sepasang adik-beradik lelaki yang sedang mengedar dadah jenis heroin bernilai kira-kira RM720,000 dicekup polis dalam serbuan yang dibuat di tepi jalan Semenyih, Kajang, kelmarin.

Sebelum serbuan dilakukan, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Selangor menjalankan intipan, sebelum mengekori kedua-dua suspek yang menaiki motosikal ke kawasan terbabit.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan berkata, ketika ditahan kira- kira jam 12 tengah hari, berlaku pergelutan kerana kedua-dua suspek berusia 32 dan 29 tahun itu cuba melawan untuk meloloskan diri.

Beliau berkata, polis bagaimanapun dapat menahan kedua-dua suspek dan pemeriksaan dalam beg sandang hitam yang dijumpai bersama mereka menemui 30 peket plastik besar berisi dadah heroin seberat 13.6 kilogram.

“Satu peket plastik besar itu mengandungi sebanyak 465 gram (g) dadah heroin dan boleh dijadikan dalam bentuk lebih kecil iaitu kira-kira 300 peket dengan kandungan 2g bagi setiap satu.

“Kita percaya suspek jual dadah terbabit bukan sahaja di sekitar Semenyih tetapi juga untuk pasaran di daerah lain,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.

Thaiveegan berkata, siasatan awal menunjukkan pasangan adik-beradik itu mula menjalankan kegiatan terbabit sejak lima bulan lalu.

Menurutnya, semakan mendapati suspek berusia 29 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan masih di bawah pemerhatian orang sekatan dadah.

Katanya, kedua-dua suspek yang didapati positif dadah itu turut dikesan memiliki rekod berkaitan jenayah dan dadah.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");