Berita Hari Ini

Anak Melayu jangan siakan peluang belajar

KUALA SELANGOR: Anak Melayu tidak seharusnya mempersia-siakan peluang untuk meningkatkan kemahiran selepas gagal dalam pelajaran kerana bidang kemahiran mampu mengubah hidup mereka menjadi insan lebih berjaya pada masa depan.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar menjelaskan, institusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) cukup dekat di hati kerana banyak membantunya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi sehingga mampu digelar peguam sebelum melibatkan diri dalam politik.

Menurutnya, pelbagai institusi pendidikan dibina khas untuk orang Melayu, seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang ternyata mampu melahirkan tenaga mahir yang cukup membanggakan negara termasuk Wan Nazri Wan
Aria dengan rekaan menara jam di Mekah.

“Ternyata, produk Mara banyak memberi peluang membantu anak Melayu, termasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kolej Kemahiran Profesional Mara dan GiatMara yang membantu mengubah seseorang itu menjadi pekerja mahir dalam bidang dikhususkan.

“Meskipun GiatMara menjadi institusi paling bawah, namun itu bukan menjadi alasan kepada pelatih untuk tidak membuktikan kemampuan diri dalam bidang yang diceburi,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi GiatMara Zon Utara Negeri Selangor di Dewan Dato’ Seri Haji Abu Hassan, Kompleks Umno Kuala Selangor, semalam.

Hadir sama, Pengurus Besar GiatMara Negeri Selangor, Mohamad Merjuki Kasanwidi.

Noh berkata, rakyat sewajarnya tidak perlu mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu di negara ini kerana ia sudah termaktub dalam Perlembagaan namun sedih apabila ada segelintir anak Melayu sendiri mempersoalkan perkara itu secara umum.

“Sebab itu, kita perlu lihat dengan lebih mendalam sejarah negara yang mana ketika sebelum merdeka, kehidupan orang Melayu sangat mundur sehinggakan British mewujudkan Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan (LPKP) atau Rural and Industrial Development Authority (Rida).

“Kini Rida lebih dikenali Mara berfungsi mengubah taraf hidup orang Melayu untuk setaraf dengan bangsa lain, namun keistimewaan itu turut dipertikaikan anak Melayu sendiri sehingga ada tuduhan keistimewaan itu bersifat perkauman.

“Inilah suara yang tidak menghormati Perlembagaan dan cuba mencabar hak orang Melayu sehingga mahu UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera. Kenapa perlu kacau UiTM sedangkan banyak lagi institusi pengajian tinggi awam atau swasta lain?

“Jangan menggugat kemudahan pendidikan orang Melayu yang ada di negara ini kerana kita tidak menghalang mana-mana institusi lain untuk pengambilan pelajar bukan bumiputera,” katanya yang turut menyampaikan sijil kepada ahli Kelab Teknologi Bumiputera (KTB).

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");