Isu Panas

Annuar kena amaran lagi!

KUALA LUMPUR: Sekretariat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi amaran kepada Tan Sri Annuar Musa supaya tidak terbabit dalam sebarang aktiviti yang ada kaitan dengan sukan bola sepak kelolaan badan induk itu kerana masih menjalani hukuman penggantungan selama dua setengah tahun.

Amaran yang turut meminta beliau tidak membuat sebarang kenyataan media itu diterima menerusi sepucuk surat dikeluarkan oleh sekretariat terbabit bertarikh 14 Jun lalu sehari selepas beliau merasmikan majlis pelancaran telefon pintar edisi The Red Warriors di Kota Bharu.

“Saya sudah menjawab surat berkenaan menerusi emel. Saya menjelaskan kepada FAM kenyataan saya yang menyentuh soal keselamatan penyokong dan mencadangkan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA sehari lebih awal pada majlis itu atas kapasiti Ahli Parlimen Ketereh.

“Ia tiada kaitan dengan jawatan Timbalan Presiden FAM atau Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang digantung,” katanya menerusi laman sosial Facebook miliknya, semalam.

Annuar berkata, FAM hanya berkuasa menghalangnya terbabit dalam apa sahaja aktiviti bola sepak yang dikelolakan badan induk itu sekiranya beliau menggunakan kedudukan dan jawatan yang digantung itu.

“Bagaimanapun, jika saya berbuat demikian atas dasar peribadi dan kapasiti Ahli Parlimen Ketereh, FAM tidak boleh menghalang saya,” katanya.

Annuar pada 13 Jun lalu selepas merasmikan pelancaran telefon pintar edisi The Red Warriors di Kota Bharu, membuat kenyataan media menyentuh soal keselamatan penyokong dan mencadangkan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA, pada 29 Jun dilakukan sehari lebih awal.

“Tak pernah terlintas dalam fikiran saya – memberi pandangan terhadap penjualan tiket menjadi satu kesalahan sehingga FAM mengeluarkan surat amaran. Saya tidak dapat bayangkan apa jenis dan corak pemikiran mereka yang terbabit,” katanya.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");