Kolumnis

Apa Salahnya Malaysia Ikut Langkah Singapura Dalam Hal Jerebu?

Masalah jerebu sebenarnya sudah jadi masalah tahunan kepada negara-negara di Asia Tenggara terutama sekali membabitkan Malaysia, Singapura dan Indonesia. Tempat yang menghasilkan jerebu telah lama dikenalpasti iaitu di Indonesia. Atau lebih tepat lagi di kawasan-kawasan ladang luas yang menggunakan pembakaran terbuka sebagai kaedah termurah, terpantas dan termudah untuk membersihkan ladang bagi memulakan penanaman semula.

Dari tahun 1987 lagi, masalah jerebu telah menyebabkan negara mengalami kemerosotan pendapatan yang amat ketara. Sehingga kini, apa yang kerajaan lakukan hanyalah menyediakan indeks bacaan jerebu atau IPU dan kemudian pihak media pula memberi ulasan bagaimana jerebu menjejaskan sektor pelancongan, penerbangan dan aktiviti harian.

Selain daripada itu, tidak ada sebarang tindakan yang lebih meyakinkan.

Malaysia bermurah hati menawarkan bantuan kepada Indonesia untuk memadamkan kebakaran di hutan dan ladang-ladang di Sumatera, Bengkalis, Riau dan sebagainya. Malah yang terbaharu, Malaysia menawarkan pembenihan hujan kepada Indonesia untuk mengatasi kebakaran yang masih belum dapat dipadamkan.

Dalam hal ini, ternyata Singapura lebih cepat bertindak. Sekalipun ada Menteri Indonesia yang menyatakan bahawa kemarahan dan kekecewaan Singapura terhadap masalah jerebu yang berpunca dari negara Indonesia, bersifat keanak-anakan, Singapura telah pun memulakan tindakan.

Perdana Menteri Singapura secara tegas menyatakan bahawa negara tersebut akan mengambil tindakan keras terhadap syarikat negara atau mana-mana entiti yang dikaitkan dengan Singapura yang terlibat dalam pembakaran terbuka di Indonesia.

Sedangkan Malaysia pula, sekadar menyatakan tentang pembenihan awan dan bantuan yang lain!

Terdapat banyak ladang yang dimiliki oleh syarikat-syarikat dari Malaysia yang terbabit dengan pembakaran terbuka di Indonesia. Dari tahun 1987, sehinggalah sekarang, tiada sebarang tindakan diambil terhadap pemilik-pemilik syarikat dari Malaysia yang memilih pembakaran terbuka untuk menjimatkan kos pembersihan dan penanaman semula.

Alasan bahawa jenayah berkenaan dilakukan di luar sempadan Malaysia, sebenarnya merupakan alasan remeh yang menunjukkan ada sikap tidak bertangungjawab di kalangan pihak atasan Malaysia.

Tiada salahnya jikalau Malaysia mengambil langkah yang sama seperti Singapura. Menghukum syarikat-syarikat yang terlalu mementingkan keuntungan tanpa menghiraukan masalah yang dihadapi oleh pelbagai sektor lain di Malaysia, merupakan kaedah terbaik untuk memastikan jerebu bukan lagi menjadi wabak yang menjahanamkan negara ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");