Jenayah

Bayi Diculik Di Hospital

KUALA LUMPUR:Seorang lelaki berusia 30 tahun dicekup ketika cuba menculik bayi perempuan yang baru dilahirkan dalam kejadian di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, lelaki terbabit dilapor menyamar sebagai ahli keluarga kepada seorang wanita berusia 21 tahun yang baru bersalin di hospital berkenaan.

Namun, tindakannya digagalkan bapa kepada wanita terbabit berusia 61 tahun yang juga kebetulan datang melawat anak perempuan dan cucunya itu.

Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, lelaki terbabit masuk ke sebuah wad di HKL sebelum mendakwa mahu membawa pulang bayi perempuan berkenaan yang diasingkan daripada ibunya kerana mengalami masalah kesihatan.

“Suspek mendakwa dia adalah keluarga kepada wanita berkenaan bagi meyakinkan jururawat yang menjaga bayi terbabit,” katanya memberitahu, suspek juga menunjukkan dokumen yang dipalsukan bagi meyakinkan jururawat berkenaan.

Sumber itu berkata, ketika sedang berusaha meyakinkan jururawat itu, bapa kepada wanita terbabit dan ahli keluarganya yang lain datang untuk melawat.

“Bapa kepada wanita berkenaan (mangsa) curiga kerana dia tidak mengenali lelaki terbabit. Malah, berang apabila mengetahui suspek menyamar sebagai ahli keluarganya selain mahu membawa cucunya itu keluar daripada hospital berkenaan tanpa kebenaran.

“Dengan bantuan anggota polis, suspek dicekup sebelum dibawa ke balai polis berhampiran,” katanya memberitahu, pengadu yang juga bapa kepada wanita terbabit mengesyaki lelaki berkenaan mempunyai niat buruk terhadap cucu dan anak perempuannya.

Dalam laporannya, bapa mangsa turut mendakwa dia mengesyaki lelaki terbabit (suspek) berkemungkinan mahu memperdagangkan atau menjual cucunya itu jika berjaya membawanya keluar dari hospital berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi berkata, suspek didapati menyamar sebagai ahli keluarga wanita berkenaan dalam cubaannya bagi membawa bayi terbabit keluar HKL.

“Bagaimanapun, bapa kepada wanita terbabit yang kebetulan berada di wad itu kemudiannya memberitahu pihak pengurusan dan jururawat di HKL bahawa suspek bukanlah ahli keluarganya sebelum meminta pasukan polis menahan lelaki terbabit,” katanya.

Katanya, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, untuk membantu siasatan dan memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 363 dan 511 Kanun Keseksaan (KK).

-Harian Metro-

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");