Jenayah

Budak 5 tahun selamat bapa lumpuh

Faiq dipangku ibunya:-

KEPONG – “Sungguh tidak sangka anak saya yang masih kecil dapat menjadi penyelamat.”

Demikian menurut seorang bapa kurang upaya (OKU), Romy Zainuddin, 38, setelah diselamatkan anaknya, Muhammad Faiq Nubhan Romy Zainudidin, 5, selepas rumah kediaman mereka di Flat Beringin terbakar, Rabu lalu.

Menurutnya, ketika kejadian itu Faiq sedang leka bermain di ruang tamu sebelum menyedari kewujudan api dari bilik hadapan kira-kira pada jam 3.30 petang.

“Saya berada di dalam tandas manakala kakaknya sedang tidur di dalam bilik dan hanya dia sahaja yang menyedari kewujudan api itu,” katanya.

Romy berkata, anak bongsunya itu kemudian berlari mengetuk pintu bilik air bagi memaklumkan mengenai kejadian itu dan bergegas mengejutkan kakaknya.

“Faiq turut mengambil baju serta kain untuk menutup badan saya memandangkan saya tidak lagi berkemampuan untuk membuat apa-apa disebabkan kecacatan kaki yang dialami sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian isterinya, Nuril As Zainudin, tiada di rumah kerana keluar mengajar di sekolah.

Dalam pada itu, Romy turut bersyukur memandangkan jiran di kawasan tersebut turut membantu memadamkan kebakaran.

“Hasil bantuan penduduk setempat, api berjaya dikawal dan dipadamkan dalam tempoh 45 minit.

“Ketika bomba sampai, api sudah berjaya dipadamkan penduduk,” katanya.

Hasil siasatan awal bomba menurutnya, kejadian itu berpunca daripada puntung rokok yang menyebabkan tilam di bilik berkenaan terbakar.

“Sebelum saya ke tandas, memang tiada sebarang api dan saya syak ia mungkin dari tingkat atas,” katanya.

Menurutnya, dia mengalami kerugian hampir RM15,000 selain dokumen penting tidak dapat diselamatkan.

“Buat masa ini, saya dan keluarga akan menetap di dewan awam flat sementara pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membantu menyelesaikan kesulitan yang dialami,” katanya.

Sementara itu, orang awam yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun CIMB mangsa bernombor 14014020813229 (Nuril As Zainudin).

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");