Sukan Hari Ini

Cai Lin, Nuzul Azwan terbaik Selangor

ATLET petanque negara Mohamad Nuzul Azwan Ahmad Temizi dan ratu renang kebangsaan, Khoo Cai Lin, masing-masing dinobat sebagai Olahragawan dan Olahragawati Selangor 2012 pada Anugerah Sukan Selangor di Shah Alam, kelmarin. Lapor SITI ZUBAIDAH MAT ISA

Majlis yang disempurnakan Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah turut menyaksikan renang menguasai tujuh kategori dipertandingkan iaitu Olahragawan Harapan, Jurulatih Lelaki dan Wanita Terbaik juga Persatuan Terbaik.

Pencapaian Nurul Azwan begitu cemerlang apabila merangkul pingat gangsa acara shooting individu pada Kejohanan Petanque Piala Dunia selain menamatkan saingan di peringkat suku akhir acara berpasukan triple lelaki, juga pada kejohanan sama.

Azwan turut meraih dua perak pada Temasya Sukan Universiti Asean (AUG) 2012, Loas menerusi acara shooting individu dan triple lelaki selain gangsa pada Petanque Star Master Thailand.

Sementara Cai Lin, yang berjaya melepasi kelayakan ke Sukan Olimpik di London tahun lalu, juga meraih tiga emas pada Kejohanan Renang SEA di Singapura dan menggondol tujuh emas dan satu gangsa di AUG, melayakkan beliau menerima anugerah Olahragawati Selangor.

Pemenang membawa pulang piala pusingan, sijil penghargaan serta wang tunai RM7,000.

Bagi Cai Lin sudah tentu kemenangan kali keempat (2007, 2008, 2009, 2013) itu, menaikkan motivasi beliau untuk mencipta lebih banyak kejayaan terutama pada dua kejohanan besar iaitu Kejohanan Dunia FINA Edisi ke-15 di Barcelona, bermula 19 Julai hingga 4 Ogos dan Sukan SEA di Myanmar, hujung tahun ini.

“Pencapaian saya ketika di Kejohanan Dunia tahun lalu tidak begitu memberangsangkan.

“Jadi amat penting untuk saya bekerja keras dan memperbaiki catatan masa selain mempertahankan dua pingat emas pada acara 400 m dan 800 m di Sukan SEA nanti,” katanya selepas majlis penyampaian Anugerah Sukan Selangor 2012 di Shah Alam, kelmarin.

Sementara itu, Nuzul Azwan yang tidak menjangkakan kemenangan tersebut mampu menyumbang emas pada temasya Sukan SEA 2013.

“Sekarang skuad kebangsaan sedang menjalani latihan pusat ke temasya berkenaan dan kami memberi keutamaan penggunaan sains sukan dalam petanque agar dapat membantu meningkatkan skil permainan.

“Tahun lepas saya meraih pingat perak dalam acara shooting, jadi tahun ini saya mahu pastikan saya boleh menyumbang emas bagi menebus kekecewaan sebelum ini,” katanya.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");