Sukan Hari Ini

FAM buat ‘pusingan U’

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menarik balik tawaran insentif RM1,000 kepada penyokong Kelantan dan Johor Darul Takzim (JDT) yang berjaya membantu pihak berkuasa menangkap individu membaling objek terlarang ketika aksi perlawanan Akhir Piala FA pada 29 Jun ini.

Perkara itu diumumkan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Piala FA, Datuk Hamidin Mohd Amin pada sidang media selepas selesainya Taklimat dan Perbincangan Khas Perlawanan Akhir Piala FA 2013 di Bukit Jalil, hari ini.

Menurutnya, hasil mesyuarat diadakan hari ini bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) memutuskan tawaran tersebut tidak dapat dilaksanakan bagi mengelakkan berlaku salah faham.

“PDRM perlu ada perbincangan terperinci mengenai perkara ini, begitu juga FAM sebelum melaksanakannya dan untuk aksi pada 29 Jun nanti tawaran tersebut tidak dapat dilaksanakan bagi mengelakkan salah faham di kalangan kedua-dua penyokong.

“Namun pengambilan Marshal yang terdiri 100 penyokong setiap pasukan tetap dilaksanakan,” katanya.

Sebelum ini Mesyuarat Pengelola Perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan menentang JDT di Wisma FAM, 13 Jun lalu, badan induk bola sepak itu menawarkan insentif RM1,000 kepada penyokong kedua-dua pasukan serta penyertaan Marshall sebagai dua insentif baru menjelang pertemuan akhir Piala FA.

Ia sebagai usaha untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku sebelum, semasa dan selepas perlawanan.

Dalam pada itu, Hamidin yang juga Naib Presiden FAM turut menafikan pelantikan beliau sebagai Setiausaha Agung baru badan induk itu sebagaimana digembar-gemburkan oleh media tempatan hari ini.

Sebaliknya beliau menyifatkan berita itu sebagai khabar angin semata-mata.

“Saya minta maaf, memandangkan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah tidak dapat hadir hari ini, jadi saya tidak boleh memberi sebarang pengesahan tentang hal itu.

“Kuasa hanya terletak di tangan Tuanku sahaja dan beliau yang boleh membuat pengesahan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media tempatan yang mengatakan beliau dilantik ke jawatan itu bagi menggantikan Datuk Azzuddin Ahmad.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan FAM Datuk Seri Wira Salleh Mat Rasid berkata, bilangan anggota PDRM yang bertugas semasa perlawanan akhir tersebut bertambah kepada 2,000 anggota.

“Sebelum ini hanya 1,500 anggota namun kita menambah 500 anggota lagi untuk mengawal perlawanan di samping 500 anggota Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA),” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN&KA) Bukit Aman berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana penyokong yang melanggar arahan pihak berkuasa seperti membawa bahan-bahan larangan seperti mercun dan peralatan tajam ke dalam stadium.

“Elakkan dari membuat sebarang provokasi kepada pasukan lawan, ikut peraturan dan undang-undang telah ditetapkan, kita percaya jika semua penonton berdisiplin dan mengikuti arahan segalanya akan berjalan lancar,” katanya.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");