Jenayah

Hasrat berkahwin tak kesampaian

Bapa mangsa, Rusli Abd Majid, 51, dan ibu mangsa, Mazanah Ahmad, 51, tidak dapat menahan kesedihan dengan pemergian anak mereka. Gambar kecil: Noor Izati:-

ALOR GAJAH – Hasrat seorang gadis untuk melangsungkan perkahwinannya pada Mac tahun hadapan tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Durian Daun, Masjid Tanah, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 malam itu, mangsa, Noor Izati Rusli, 21, memandu Proton Saga BLM dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Seri Aman, Masjid Tanah selepas keluar makan bersama rakan.

Sumber berkata, mangsa yang bekerja di sebuah kilang di Rembia baru menghantar rakannya itu di Kelemak, di sini sebelum kereta dipandu mangsa hilang kawalan.

Menurutnya, kereta yang dipandu terbabas merempuh pili bomba di kiri jalan sebelum melanggar tiang elektrik sehingga patah.

“Orang awam yang berada di tempat kejadian segera menghubungi anggota penyelamat sebelum anggota bomba tiba beberapa minit kemudian bagi mengeluarkan mangsa,” katanya.

Tunang mangsa, Muhaimin Omar, 23, berkata, malam sebelum kejadian dia ada menghubungi arwah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) sebelum perbualan mereka terhenti tiba-tiba.

“Saya menyangka arwah tertidur sebelum menerima panggilan daripada seorang ahli keluarga memaklumkan kemalangan yang menimpa arwah.

“Saya tidak tahu arwah keluar makan bersama rakannya. Sepanjang malam kami berborak melalui SMS mengenai jodoh dan perkahwinan namun tak sangka begini pengakhirannya,” katanya.

Manakala Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Nor Ismail mengesahkan menerima panggilan awam kira-kira 11.47 malam.

Menurutnya, lima pegawai dan anggota bomba dengan kekuatan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat mengenai kemalangan berkenaan.

“Setibanya di lokasi, kami dapati mangsa cedera parah di kepala dan masih berada dalam kereta yang terbalik.

“Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia di tempat kejadian ketika anggota kami mengeluarkannya dari dalam kereta kurang dari lima minit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kemalangan maut membabitkan sebuah kenderaan dipandu seorang gadis terbabas ketika melalui satu selekoh.

“Mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");