Perak Hari Ini

Hormati Keputusan Singham, Ubah Persepsi Terhadap Polis: Ahmad Zahid

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan beliau menghormati keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk V T Singham berhubung kes bekas tahanan yang meninggal dalam lokap, mendiang A Kugan bersandarkan kepada prinsip mahkamah dalam menegakkan keadilan.

“Saya hormati keputusan Singham berhubung penghakimannya pada Rabu lepas mengenai kes mendiang A Kugan kerana ini adalah keputusan mahkamah yang adil dan harus diikuti.

“Kita akan kemukakan rayuan ke mahkamah tinggi dan jika gagal, akan diteruskan ke mahkamah Persekutuan tetapi apa yang penting adalah menjadi prinsip kita untuk menghormati keputusan mahkamah,” katanya.

Beliau turut menasihatkan masyarakat agar tidak memandang serong terhadap mahkamah dengan menganggap mahkamah hanya berpihak kepada kerajaan semata-mata.

“Masyarakat perlu sedar bahawa mahkamah memainkan peranan penting dalam menegakkan keadilan dan tidak terpihak kepada mana-mana pihak seperti yang kita lihat menerusi kes mendiang A Kugan ini,” jelasnya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu memerintahkan kerajaan membayar pampasan sebanyak RM851,700 kepada keluarga bekas tahanan A Kugan yang meninggal dunia di dalam lokap pada 2009.

Sementara itu, Ahmad Zahid juga menegaskan daripada 231 kes dalam tahanan, hanya dua orang pesalah mati disebabkan keganasan polis dan pihaknya tidak pernah sama sekali bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mencederakan suspek.

“Kita telah ambil tindakan terhadap polis yang terlibat dan kami tidak pernah berkompromi dengan mana-mana pihak dalam perkara ini,” ujarnya di sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Alumni SISTA ke-35 dan KOSISTA ke-15 di Ipoh, hari ini.

Ahmad Zahid juga berharap masyarakat mengubah persepsi terhadap polis berhubung perkara ini kerana pelbagai langkah telah diambil bagi mengelak kes sebegini berulang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");