Berita Hari Ini

Kebajikan tentera ditingkat, termasuk juruterbang pesawat pejuang

Kebajikan anggota tentera untuk semua cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan diberi keutamaan sebagai menghargai pergorbanan jiwa dan raga mereka dalam mempertahan kedaulatan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, masih banyak aspek kebajikan yang perlu ditambah baik dalam memastikan anggota tentera tidak merasa terpinggir sejajar pengorbanan mereka.

Menurut beliau, antara keutamaan yang perlu diberi perhatian segera ialah kebajikan juruterbang tempur Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang kini menjadi ‘buruan’ syarikat-syarikat penerbangan swasta.

“Banyak yang perlu ditambah baik khususnya TUDM ini sendiri kerana banyak ruang tuntutan komersial kepada juruterbang kita. Ini merupakan cabaran yang begitu besar. Sudah tentu warga kita tidak boleh dinilai dengan wang ringgit.

“Kebajikan kalau tidak dijaga sebagai rakyat saya fikir sangat tidak bertanggungjawab kerana ia boleh melunturkan semangat mereka,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Pangkalan Udara TUDM Subang, di Subang, semalam.

Yang turut hadir mengiringi beliau ialah Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud.

Dalam perkembangan berasingan, Hishammuddin tidak menolak kemungkinan peruntukan terhadap Kementerian Pertahanan akan ditambah tetapi ia tidak semestinya dibuat melalui belanjawan sedia ada.

Katanya, peruntukan tahunan itu akan melihat kepada keperluan semasa dan tuntutan jangka panjang bagi memastikan keselamatan negara dalam menangani sebarang ancaman selepas ini berada dalam keadaan terbaik.

Mengenai perkembangan terkini rancangan perolehan skuadron pesawat pejuang pelbagai misi bagi menggantikan Mig-29N, beliau berkata, pihak TUDM masih menilai beberapa aspek teknikal sebelum ia diputuskan.

“Apa yang penting sekarang ialah kita kena pastikan ancaman terdekat dapat ditangani dan apa keperluan mendesak itu kita beri keutamaan, saya percaya TUDM lebih mengetahui apa keperluan mereka,” katanya.

– UTUSAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");