Sukan Hari Ini

Kejohanan hoki 2013 berlangsung ikut jadual

Zulkarnain (tiga, kanan) bersama penaja Kejohanan Pusingan Ketiga Saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia 2013:-

Kejohanan Pusingan Ketiga Saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia 2013 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Hoki Taman Daya, di sini, pada 29 Julai hingga 7 Julai depan, akan tetap diteruskan walaupun negara dilanda jerebu.

Bagaimanapun, lokasi permainan mungkin ditukar ke Kuala Lumpur sekiranya masalah jerebu di Johor Bahru masih berlarutan dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melepasi bacaan pada paras 150.

Setiausaha Pengelola kejohanan merangkap Pengerusi Kejurulatihan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Majid Manjit Abdullah berkata, keputusan penukaran tempat itu akan dibuat dalam masa dua hari ini bergantung kepada keadaan jerebu.

“Penentuan lokasi kejohanan itu akan membabitkan persetujuan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dan setakat ini tiada bantahan lokasi kerana tahap pencemaran masih di bawah 100.

“Dalam masa beberapa hari kami akan pantau tahap jerebu di sini, namun berdasarkan maklumat diterima tahap IPU di sekitar Johor Bahru sudah semakin pulih berbanding sebelum ini,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran dan penyampaian cek penajaan kejohanan itu di Persada, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Zulkarnain Kamisan dan Timbalan Presiden MHC, M Gobinathan.

Kejohanan itu menerima penajaan keseluruhan berjumlah RM740,000 iaitu sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM200,000; Tenaga Nasional Berhad, Majlis Sukan Negara dan DRB Hicom, masing-masing RM100,000, manakala Gabungan AQSR Sdn Bhd, Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan Wazlian Group, masing-masing RM50,000 serta Nestle Product Sdn Bhd sebanyak RM40,000.

Majid berkata, persiapan kejohanan itu sudah berjalan sepenuhnya dengan lapan pasukan telah mengesahkan tiket untuk persaingan kejohanan berkenaan.

“Ia merupakan salah satu pentas buat Malaysia buru tiket ke Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda,” katanya.

Berada dalam Kumpulan B, skuad hoki negara diletakkan bersama Pakistan, England dan Afrika Selatan manakala Kumpulan A persaingan melibatkan Jerman, Korea Selatan, Argentina dan Jepun.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");