Kolumnis

Mana SUHAKAM Apabila Pegawai Polis Dicederakan Perusuh Blackout 505?

Seorang pegawai polis, Inspektor Aswad, pegawai penyiasat dari IPD Sentul telah ditumbuk dan diserang oleh peserta Blackout505 yang cuba merempuh masuk ke pekarangan Parlimen pagi tadi. Pegawai polis berkenaan cedera di muka dan telah pun menerima rawatan sewajarnya.

Itu insiden yang berlaku pagi tadi ketika Anwar Ibrahim menjadi ahli pembangkang pertama yang mengangkat sumpah selaku Ahli Parlimen.

Anwar Ibrahim mengangkat sumpah pada jam 11:50 pagi!

Kumpulan 200 orang yang menggabungkan SAMM pimpinan Chegu Bard dan NIAT serta segelintir ahli-ahli PSM yang dipimpin oleh Aruchelvam serta gerombolan pelajar keciciran yang berketuakan Adam Adli telah cuba menyerang Parlimen dengan alasan, kononnya mereka hendak menyampaikan memorandum kepada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, cara yang mereka lakukan samalah seperti dalam demonstrasi jalanan yang lain. Mereka cuba mengganggu lalu lintas dan gangguan lalu lintas diharapkan akan menyebabkan seluruh warga kota yang sedang bergegas ke tempat kerja, akan mula marahkan Kerajaan.

Dengan berarak dari Padang Merbok menuju ke Parlimen dan kemudian berbaring di susur keluar Jalan Parlimen ke arah Bangsar, tindakan itu dilihat lebih kepada provokasi keterlaluan. Telahan awal bahawa akan berlaku kekecohan dan cubaan merempuh masuk ke pekarangan Parlimen, ternyata benar-benar berlaku.

Anggota-anggota polis yang sememangnya mengetatkan kawalan di sekitar Parlimen, telah berusaha menghalang mereka. Barangkali bagi menyemarakkan semangat perusuh-perusuh yang lain, pegawai polis diserang dengan jangkaan polis akan melakukan serangan balas.

Kehadiran wakil stesen televisyen antarabangsa, Al Jazeera menambahkan lagi keyakinan, berita tersebut akan disensasikan. Akhirnya 26 orang daripada mereka diberkas dan ditahan.

Ketika ini, tiada sebarang suara daripada SUHAKAM, SUARAM mahupun NGO-NGO lain yang selama ini cukup prihatin terhadap penjenayah dan pelanggar undang-undang negara.  Apakah kesemua entiti berkenaan menganggap anggota-anggota dan pegawai-pegawai polis yang menjalankan tugas, bukannya manusia yang perlu dipertahankan haknya? Atau barangkali mereka tidak pernah melihat anggota-anggota serta pegawai-pegawai polis sebagai manusia?

Namun satu lagi persoalan yang wajar diperkirakan ialah, adakah UMNO dan Barisan Nasional sendiri akan mendesak untuk mewujudkan inkues untuk insiden berkenaan sebagaimana Pakatan Rakyat seringkali mendesak agar diwujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja apabila berlakunya insiden yang membabitkan orang Cina, penyokong dan pemimpin Pakatan Rakyat?

Daripada apa yang berlaku, kelonggaran dan pendekatan lemah-lembut yang diambil oleh pihak berkuasa sebenarnya seringkali disalahgunakan oleh puak-puak yang tidak pernah tahu serta faham dengan istilah KELUHURAN UNDANG-UNDANG. Mereka menjadikan suasana itu sebagai satu kelebihan bagi mereka untuk melakukan apa-apa sahaja.

Apatah lagi, tindakan yang kerap diambil oleh pihak berkuasa pula, kelihatan sangat terpilih-pilih. Ketika Pejabat Peguam Negara dan SPRM sangat cenderung untuk bertindak ke atas pemimpin UMNO dan Barisan Nasional, tindakan dalam kes yang sama terhadap pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat pula, tersangat perlahan, bahkan langsung tidak ada.

Ramai yang percaya, kalaupun si penjenayah yang menumbuk dan mencederakan pegawai polis itu ditangkap, SUHAKAM dan SUARAM mahupun LAWYERS OF LIBERTY akan berada di barisan paling hadapan untuk membela si penjenayah tersebut. Bahkan mereka akan memusingkan segala fakta dan bukti sehinggakan menjadikan pegawai polis itu pula yang bersalah.

Paling menarik lagi ialah apabila Pejabat Peguam Negara akan memberikan alasan ‘tidak cukup bukti’ apabila kertas siasatan diserahkan bagi menghalang perbicaraan dan hukuman terhadap si pelaku sepertimana yang dibuktikan dalam kes BERSIH 2.0 dan BERSIH 3.0 apabila kesemua pelaku termasuklah yang merosakkan harta awam termasuklah kereta polis dan cubaan membunuh anggota polis, dibebaskan tanpa sebarang pendakwaan sedangkan pada masa yang sama, bukti-bukti bergambar dan video disiarkan oleh hampir kesemua media, termasuklah yang pro-Pakatan sendiri!

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");