Berita Hari Ini

Peniaga Topeng Dinasihat Tak Ambil Kesempatan Naikkan Harga

GEORGE TOWN: Kementerian Kesihatan menasihatkan peniaga topeng penutup mulut dan hidung agar tidak mengambil kesempatan ketika keadaan jerebu semakin meruncing.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata peniaga tidak patut mengambil kesempatan dan menaikkan harga, terutama pada saat-saat genting seperti ini.

Beliau berkata setakat ini, bekalan topeng penutup mulut dan hidung mencukupi bagi menampung pemintaan yang tinggi.

“Setakat ini tidak mendengar apa-apa aduan mengenai kenaikan harga topeng penutup mulut dan hidung. Itu (kenaikan harga) harus dipantau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kecergasan Kesihatan di sini Ahad.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkan darurat bencana jerebu bagi seluruh daerah Muar dan Ledang di Johor sehingga ke suatu masa ia ditarik balik.

Pengisytiharan itu dibuat berikutan keadaan jerebu, khususnya di kawasan Muar meliputi dua daerah, berada pada tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 500 iaitu pada tahap kecemasan atau ’emergency’.

Berdasarkan indeks kualiti udara, bacaan antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai berbahaya.

Hilmi berkata Kementerian Kesihatan menyokong cadangan Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron untuk mengadakan hujan tiruan yang boleh mengurangkan jerebu.

Beliau turut menasihatkan orang ramai mengurangkan aktiviti luar dan sentiasa memakai topeng penutup mulut dan hidung bagi mengelak penyakit berkaitan paru-paru serta pernafasan berikutan keadaan jerebu yang teruk.

-BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");